LGBT

Normalisasi adalah senjata utama syaitan dalam perjuangannya menyesatkan manusia. Strategi bertahap sedikit demi sedikit untuk menyesatkan umat Manusia agar terjerumus ke jurang api neraka dilakukan amat licik, dan kadang-kadang dihias agar dikelilingi oleh perkara-perkara yang nampak baik.

Strategi ini telah diceritakan dengan jelas oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis sahih yang menceritakan bagaimana syaitan menyesatkan Umat Nabi Nuh.

“Daripada Ibn Abbas radhiyallahu ‘anha, beliau berkata bahawa berhala-berhala yang asalnya merupakan berhala kaum Nuh, kemudiannya menjadi berhala kaum Arab. Berhala yang bernama Wadd menjadi berhala Kilab di Daumah al-Jandal. Suwa’ pula menjadi berhala Huzail. Yaghuth menjadi berhala untuk Murad dan kemudiannya menjadi sembahan Bani Ghutayf di kawasan gua di Saba’. Manakala Ya’ooq ia menjadi berhala untuk Hamdan. Nasr menjadi berhala Himyar, yakni Aal Dzi al-Kula’.

Nama-nama itu adalah nama lelaki-lelaki soleh daripada kaum Nuh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan memberi idea kepada kaum mereka agar membina patung yang dibawa hadir ke majlis-majlis mereka. Patung itu didudukkan bersama mereka dan setiap satunya dinamakan dengan nama-nama lelaki soleh itu. Lalu kaum tersebut melakukan idea Syaitan itu tetapi mereka tidak menyembahnya. Akan tetapi apabila generasi pembuat patung itu mati, dan pengetahuan mengenai tujuan asal patung itu dibuat telah hilang, akhirnya patung itu disembah” [Sahih al-Bukhari, hadith nombor 4920]

Syaitan tidak pernah berhenti dari menggunakan strategi ini hinggalah hari kiamat untuk menyesatkan manusia. Musuh Allah ini tidak akan datang kepada kita dan meminta kita melakukan syirik dan dosa besar secara terus, tapi dia akan mengelirukan kita secara perlahan-lahan hingga akhirnya kita terperangkap dalam belitan tipu dayanya.

Umat Islam perlu lebih cakna dan sedar dengan strategi ini agar tidak mudah tertipu dengan kesesatan agenda yang dibawa oleh syaitan.

Agenda perjuangan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) adalah antara agenda syaitan sejak zaman Nabi Lut yang diperjuangkan oleh sebahagian manusia di atas muka bumi hari ini. Kemuncak kepada perjuangan agenda ini adalah supaya aktiviti mereka diiktiraf sebagai sebagai normal dan hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang negara. Jalannya tidak mudah, tapi strategi normalisasi digunakan dengan sangat intensif oleh para aktivis yang memperjuangkan LGBT.

Alhamdulillah, setakat ini di Malaysia, perjuangan ini masih gagal diterima oleh sebahagian besar ahli masyarakat dan masih juga ditolak oleh kerajaan yang memerintah, namun begitu, pastinya mereka tidak akan berhenti untuk mengasak dan memberi tekanan hingga tujuan utama perjuangan mereka dapat dicapai.

Dalam membongkar dan untuk menghalang gerakan perjuangan kesesatan ini, strategi mereka perlu difahami agar mereka tidak akan berjaya untuk mencapai apa yang mereka inginkan.

Jika kita meneliti bagaimana aktivis LGBT bekerja di negara-negara lain dan apa yang telah mereka capai, maka kita akan memahami misi, visi, objektif dan strategi mereka dengan baik, kerana gerakan ini adalah gerakan global. Setakat ini 14 buah negara telah mengiktiraf dan mempunyai undang-undang perkahwinan sejenis. Jika tidak berhati-hati dan bersatu untuk menolak agenda LGBT dari dibawa masuk secara licik, tidak mustahil satu hari nanti, Malaysia akan termasuk dalam statistik ini.

Di mana-mana negara, langkah awal perjuangan mereka adalah berusaha agar diterima sebagai golongan yang normal dalam masyarakat. Usaha ini dilakukan melalui sebaran media massa, filem dan drama-drama popular seperti Glee, kajian-kajian saintifik dan perubatan, music video oleh penyanyi popular seperti Elton John dan Kate Perry, dan pelbagai lagi kaedah.

Di Malaysia, Seksualiti Merdeka adalah antara badan yang aktif memperjuangkan isu ini. Mereka menganjurkan festival, seminar dan pelbagai lagi acara untuk mempromosikan LGBT sebagai satu cara hidup yang normal.

Fasa seterusnya dalam perjuangan mereka setelah masyarakat menerima ‘kehadiran’ mereka adalah lebih menakutkan, mereka akan berjuang agar mahkamah mengiktiraf hak mereka untuk berkahwin sesama jenis. Lelaki berkahwin sesama lelaki, perempuan berkahwin sesama perempuan. Mereka akan melobi agar hak mereka dilindungi oleh undang-undang dan siapa yang menentang mereka akan dilabel sebagai ekstremis dan bakal berdepan dengan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Di Australia dan New Zealand sebagai contoh, perjuangan tahap ini telah bermula dan mula menampakkan hasil yang positif. Ahli politik mula memberikan sokongan dan media juga mula memberikan gambaran yang menyenangkan.

Ahli politik seperti Cory Bernardi yang menentang isu-isu sebegini akhirnya akan dianggap konservatif, menerima padah dan serangan bertubi-tubi. Baru-baru ini, Bernardi akhirnya terpaksa meletak jawatan sebagai setiausaha parlimen Tony Abbott akibat komen pedasnya dalam isu ini setelah menerima tekanan dari pihak media dan ahli politik yang lain. Presiden Putin yang begitu tegas dalam isu LGBT juga mula ditekan menggunakan pelbagai strategi, antaranya dengan menggunakan medium Sukan Olimpik Musim Sejuk yang bakal tiba.

Di Malaysia, kerana kerajaan yang memerintah masih tegas dengan LGBT, tekanan antarabangsa digunakan sebagai salah satu langkah untuk memaksa kerajaan tunduk kepada desakan.

Pada tahun 2012, Human Rights Watch, sebuah badan hak asasi antarabangsa yang berpusat di New York pernah menghantar surat kepada Dato Seri Najib untuk menyatakan bantahan dan memberi tekanan agar golongan LGBT tidak di diskriminasi.

Surat ini dihantar setelah ucapan Dato Seri Najib di seminar Islam sebagai Agenda Transformasi Negara yang menyatakan bahawa Malaysia tidak akan memberi ruang terhadap golongan LGBT.

Di negara-negara barat, perjuangan ini mungkin lebih mudah kerana keruntuhan institusi keluarga yang telah berlaku sejak sekian lama. Seks bebas, alkohol dan pornografi yang telah lama dianggap sebagai hak asasi telah membuka jalan kepada perjuangan LGBT.

Di Malaysia, walaupun masih belum diterima kerana ISLAM yang masih kuat bertapak, nampaknya mereka cukup bijak bila meletakkan perjuangan hak asasi LGBT dalam satu bakul dengan perjuangan-perjuangan yang lain seperti perjuangan alam sekitar, hak wanita untuk dilindungi di rumah dan isu-isu pendidikan yang nampak biasa dan wajar untuk diperjuangkan.

Golongan ini akan berusaha untuk kelihatan suci dan mulia walaupun pada hakikatnya mereka adalah pejuang agenda syaitan yang berusaha untuk menghalalkan LGBT di Malaysia atas nama hak asasi.

Dokumentasi COMANGO bertarikh 11 Mac 2013 yang menjadi asas semakan rekod hak asasi manusia pada 24 Oktober 2013 adalah langkah terbaru untuk terus memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia. Selain meletakkan perjuangan hak asasi yang lain dalam satu bekas dengan perjuangan LGBT dan berselindung di sebalik perjuangan diskriminasi minoriti, mereka juga cuba untuk menuntut agar seksyen 377A kanun keseksaan dihapuskan untuk membolehkan perkahwinan sesama jenis dapat dilaksanakan di Malaysia tanpa sebarang halangan undang-undang.

Rakyat Malaysia, secara khususnya mereka yang beragama ISLAM perlu menzahirkan bantahan dan tekanan kepada kerajaan agar Malaysia terus tegas menolak pengiktirafan hak-hak LGBT sepertimana sebelum ini. Parti-parti politik, NGO-NGO Islam dan rakyat kebanyakan perlu bersatu untuk memastikan agenda LGBT tidak akan berjaya di negara kita. Gerakan-gerakan ISLAM perlu memisahkan diri dan menyatakan pendirian tegas terhadap agenda dan mereka yang memperjuangkan agenda ini di Malaysia.

Kita berharap agar negara tidak tunduk dan tidak akan menerima syor-syor yang akan merubah lanskap Malaysia dalam sesi keputusan semakan Hak Asasi Mac ini terutamanya dalam isu-isu berkaitan LGBT dan hak asasi yang bertentangan dengan agama ISLAM. Kita tidak ingin murka tuhan melanda dan menghancurkan negara kita nanti.

Dr Hisham Sharif
Pensyarah UUM

Tags: ,

TENTANG PENULIS

Entri Seterusnya >

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda