Nuclear Power Asia 2015_Wan Fayhsal_2

Saya dan anak Melayu pertama dan satu-satunya yang berkhidmat di ROSATOM, saudara Khairuddin.

 

Selesai sudah 3 hari saya berkampung di Hilton Kuala Lumpur dari 26 sampailah 28 Januari 2015 menghadiri persidangan tahunan Nuclear Power Asia 2015. Saya hadir selaku felo penyelidik dan penganalisa geopolitik Putra Business School (PBS) pada masa yang sama selaku anak muda yang ingin belajar dengan lebih dekat daripada pakar-pakar nuklear negara serta dunia.

Sebelum saya menghadirkan diri ke persidangan ini, saya telah lakukan banyak pembacaan dan perbincangan dengan para profesor di PBS tentang nuklear.

Fokus saya mudah: nuklear dan hubungannya (interface) dengan geopolitik semasa.

Kelihatan ramai pegawai daripada Agensi Nuklear Malaysia (badan yang bertanggungjawab mengurus hal-hal Nuklear, dahulunya PUSPATI), Malaysia Nuclear Power Corporation (MNPC – jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengurus pelaksanaan program nuklear Malaysia) juga Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Atomic Energy Licensing Board – AELB) yang juga merupakan badan di bawah MOSTI yang diberi amanah untuk menguatkuasa Akta 304 berhubung benda-benda radioaktif.

Tidak kurang juga syarikat-syarikat besar yang terkenal dalam industri nuklear Westinghouse-Toshiba, GE Hitachi, Areva, Pillsbury,  – masing-masing samada menjadi penaja sampingan atau  pembentang (baca: marketing drive untuk produk mereka).

Pada hari pertama program, saya sempat hadir ke satu bengkel kempen kepada awam untuk pembinaan loji tenaga nuklear yang dianjurkan julung kalinya oleh penaja Platinum Nuclear Asia 2015 – Rosatom State Atomic Energy Corporation atau nama glamour mereka – ROSATOM, yang berpengkalan di Russia.

Antara soalan yang telah saya tanyakan kepada para pegawai ROSATOM:

(1) apakah wujud peranan stakeholder keagamaan, dalam konteks Russia, Gereja Ortodoks Kristian, dalam merencana penerimaan awam terhadap projek loji tenaga nuklear?

(2) selain daripada kempen nuklear untuk tenaga hijau, tidakkah boleh kita berkempen bahawa projek tenaga nuklear sebagai satu inisiatif pertahanan yang bersifat penegahan (defensive deterrent) untuk diterangkan kepada rakyat Malaysia?

Untuk soalan (1) jawapannya amat minima. Saya saja tanya sebab tengok Patriarch Gereja Ortodoks masuk Duma (Dewan Rakyat di Russia) baru-baru ni kempen tentang isu moral – sesuatu yang asing di Barat apatah lagi Russia sebagai negara bekas komunis. Tampaknya peranan agama semakin melebar di Russia di bawah Presiden Vladimir Putin.

Jawapan kepada soalan (2) bermula dengan agak gamit kerana ramai terkejut saya bertanyakan soalan yang agak kontroversi sebegitu “direct“. Sudah tentu jawapannya “NO“. Tapi soalan saya tersebut telah benar-benar menaikkan “suhu” bengkel.

Hari pertama hanya tertumpu pada bengkel yang bersifat “public relation” untuk orang awam maka tidak banyak yang bersifat teknikal dapat dibincangkan.

Keesokan hariya pada sebelah pagi hari pertama persidangan saya tidak sempat bertanya ketika sesi CEO MNPC, Dr Mohd Zamzam bercakap. Saya cadangnya nak bertanyakan tentang halatuju program nuklear di Malaysia (saya akan jelaskan nanti kenapa diistilahkan “program”).

Tapi saya sempat bertanya di hadapan semua hadirin ketika sesi pembentangan oleh Nikolai Drozdov, Pengarah, Jabatan Urus Niaga Antarabangsa, Rosatom. Saya masih tertanya-tanya bagaimana India yang baru sahaja mengalamai peralihan kuasa melalui pelantikan Perdana Menteri yang baru iaitu daripada BJP, Narendra Modi boleh bersetuju dengan Rusia untuk menandatangani 12 NPP. Saya bertanya kepada Drozdov adakah India yang meminta Russia untuk membina NPP atau memang ianya satu usaha daripada Kremlin, melalui presidennya, Vladimir Putin yang menawarkan diri?

Masakan baru saja Modi berkuasa, tak sampai setengah tahun sudah boleh membuat keputusan sebegini besar dan penting untuk India. Kita kena ingat bahawasanya Modi datang daripada parti BJP. Sebelum ini kuasa politik India berada di bawah dinasti keluarga Gandhi yang menerajui Kongres Nasional India (INC).

Drozdov menjawab secara diplomatik bahawa kedua-dua pihak ada mengusulkan dan akhirnya menandatangani perjanjian yang besar ini.

Saya juga ada bertanyakan soalan yang sama berkenaan Argentina yang kini di bawah Presiden Cristina Kirchner tentang perjanjian pembinaan NPP yang baru juga ditandatangani tahun lepas dengan Russia tapi tidak berjawab pula – mungkin tak berapa dengar.

Walaupun jawapan yang diberikan tidak memuaskan tapi saya boleh “congak” bagaimana dan kenapa perjanjian-perjanjian itu berlaku.

Untuk India, walaupun Modi masih baru, jentera kerajaannya tetap lama. Sama seperti Malaysia, keputusan-keputusan penting yang melibatkan dasar negara mungkin sudah diputus lama sebelum peralihan kuasa melalui pilihan raya. Atau mungkin saja dalam hal melibatkan dasar luar dan juga nuklear, India sudah punya “doktrin” yang jelas, yang mana hubungan luar dengan Russia dan terkini melalui permuafakatan orde baru BRICS (singkatan daripada gabungan negara-negara kuasa baru ekonomi dunia Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) memudahkan lagi keputusan antara India dan China di buat. Atau mungkin saja India kini sudah boleh menghidu ancaman yang sedang berlegar di Lautan Hindi dengan dasar baru Amerika – “Paksi Asia” (Asian Pivot) telah “memaksa” India untuk membuat keputusan secara drastik berkenaan nuklear ini.

Tentang Argentina, ianya tidak lagi menjadi misteri kerana pada saat ini Presiden Kirchner sedang berhempas pulas mempertahankan negara beliau daripada terus-menerus ditekan secara ekonomi oleh Amerika Syarikat kerana kes hutang negara yang melibatkan dana lindungan nilai (hedge fund).

Selesai sesi pleno, diteruskan pula dengan sesi-sesi kecil yang dibahagikan mengikut tema. Saya hadir ke slot berkenaan kerangka perundangan yang melibatkan nuklear.

Macam biasa, industri nuklear sangat-sangat ketat dari segi penyeliaan dan penggubalan undang-undang (heavily regulated). Banyak sungguh akta dan piawai (standard) yang perlu di penuhi dan melatih para petugas yang bakal mengemudi dan menyelia NPP.

Dalam sesi ini sibuk benar wakil daripada golongan anti-nuklear yang menisbahkan diri mereka kepada kumpulan Radio Bangsar Utama yang bertanyakan tentang “sisa buangan nuklear” (nuclear waste). Tapi macam biasa, hal ini tidak dijawab oleh pembentang kerana lari daripada tajuk.

Persidangan berhenti untuk makan tengah hari dan seperti biasa, ianya dipenuhi dengan membuat jalinan (networking) antara para hadirin.

Pada sebelah petang ada satu sesi yang penting iaitu berkenaan Model Hakmilik (Ownership Model) NPP yang sudah tentu menyentuh perihal pendanaan (financing), pengurusan perjanjian hakmilik (contracting) dan juga model hakmilik nuklear.

Selaku graduan kejuruteraan kimia dan pernah bertugas selaku eksekutif perancangan dan strategi di PETRONAS, saya ada sedikit pengalaman dan terdedah dengan hal-hal yang melibatkan projek mega yang bernilai jutaan dan bilion ringgit seperti pembinaan Petrochemical complex, Gas terminal, Floating LNG. Saya selalu hadir dalam mesyuarat bersama pengarah, pengarah kanan dan juga Naib Presiden Divisyen Teknologi dan Kejuruteraan (T&E) PETRONAS yang mempunyai amanah untuk membantu PETRONAS Carigali, Gas, Petrochemical  yang banyak mengambil khidmat kepakaran kejuruteraan dairpada divisyen T&E.

Projek dalam industri minyak dan gas khusus yang melibatkan huluan (upstream) juga sesetengah projek hiliran (downstream) menelan modal yang besar (capital intensive). Sudah tentu kerumitan dan risiko juga sama besar hendaknya kalau melibatkan pelbagai pihak dari negara luar.

Projek atau lebih tepat – “program” Nuklear bagi saya lebih dahsyat kerana bukan sahaja memakan tempoh yang lama (10-12 tahun pembinaan), lebih rumit lagi melibatkan pemenuhan tuntutan perundangan (legal compliances) yang digariskan badan nuklear antarabangsa khususnya IAEA.

Contoh, kalau kita nak bina loji kuasa arang batu, prosesnya tiadalah rumit. Tak banyak akta yang perlu kita ikuti. Kalau nuklear daripada mula nak gali Uranium sampailah nak tutup-lupuskan NPP (decommissioning) – semuanya terikat pada akta-akta yang ketat.

Berbalik kepada isu hakmilik, pembentang pertama adalah Edward McGinnis, Timbalan Pembantu Setiausaha, bahagian Hal Ehwal Nuklear Antarabangsa, Dasar dan Kerjasama, Jabatan Tenaga Kerajaan Amerika Syarikat.

Pembentangan beliau cukup rapi. Ini adalah lambang profesionalisme kuasa besar dunia telah banyak “menambat” hati para penggubal dasar negara-negara dunia ketiga khususnya yang rapat dengan budaya Anglo-Saxon seperti Malaysia.

Mengikut McGinnis, model hakmilik antara kerajaan (government-to-government) masih menjadi pilihan utama dalam industri nuklear. Ini bermakna sebarang program nuklear takkan mampu dibuat sendiri melainkan ada kerjasama rapat dengan negara nuklear atau lebih tepat antara negara-negara kuasa Veto yang merajai Majlis Keselamatan UN (UNSC).

Projek nuklear berskala besar dan sudah tentu ada banyak pilihan dalam melibatkan pendanaan. Ada yang bersifat pendanaan 100% daripada kerajaan, ada yang melibatkan perkongsian antara kerajaan (antara negara yang baru dengan negara nuklear), pendanaan swasta dan berbagai lagi.

Dalam sesi ini ditanyakan oleh seorang ahli hadirin, saya fikir seorang peguam daripada syarikat bernama Rothschild (ya, siapa lagi kalau bukan keluarga lagenda itu) yang  bertanyakan mengapa setakat ini tiada didapati dan dilaporkan pendanaan projek janakuasa nuklear daripada pihak swasta?

Jawapan McGinnis memang sesuatu yang dijangka: projek nuklear lebih sekadar tenaga. Mana mungkin kita boleh izinkan pihak ketiga yang bukan kerajaan punya tangan dalam pendanaan (ini berbeda untuk kerjasama antara kerajaan: g-to-g). Mendanai bermaksud mempunyai kuasa untuk mengawal atau dalam istilah bahasa Inggeris: “pulling the purse strings”.

Walaupun ada pengecualian seperti model “Mankala” yang digunapakai dalam projek NPP di Finland, yang saya fikir tidak jauh beda dengan model “Musharakah” yang ada dalam Mu’amalah Kewangan Islam yang berteraskan “risk-sharing“. Model ini memberi ruang kepada pemodal swasta untuk menyertai konsortium Mankala bersama-sama dengan kerajaan dan pemodal lain.

Kenyataan diplomatik McGinnis itu sepatutnya boleh dibaca dengan lebih mendalam bahawa program NPP sebenarnya amat-amat strategik dan jauh lebih penting daripada sekadar menjana tenaga. Masakan tidak, penglibatan Washington secara khusus dalam siri-siri rundingan dan diplomasi dengan negara-negara nuklear adalah sesuatu yang rutin.

Pada hari kedua persidangan, sesi pleno pagi membicarakan perkembangan global berkenaan tenaga nuklear. Saya sempat bertanyakan soalan kepada Yoshiki Ogata, pengarah jabatan projek nuklear global, Mitsubishi Heavy Industries yang membicarakan status NPP pasca Fukushima. Dalam pembentangan beliau banyak ditunjukkan bagaimana Mitsubishi menambah baik sistem keselamatan dan penyelenggaraan NPP dengan bantuan robot untuk memasuki kawasan yang beradiasi tinggi.

Soalan saya kepada beliau ialah berkenaan cabaran serangan dan sabotaj siber (cyber espionage) yang mana satu virus bernama Stuxnet dilaporkan punya peranan terhadap “meltdown” reaktor nuklear di Fukushima. Stuxnet pertama kali dilaporkan pada awal tahun 2000 di mana ianya telah menyerang NPP Bushehr dan Natanz di Iran.

Selalunya serangan berlaku ke atas sistem kawalan industri (ICS) dan dalam kes NPP Bushehr di Iran, ICS jenis SCADA (supervisory control and data acquisition) Siemens yang mengakibatkan berlakunya “overdrive” ke atas pengempar (centrifuge) yang digunakan untuk memisahkan Uranium-235 (untuk buat bom) daripada Uranium-238 (bukan untuk buat bom). Banyak pengkaji Stuxnet telah mengesannya berpunca dari negara Israel.

Antara yang disyaki terlibat ialah syarikat keselamatan dari Israel – Magna BSP – telah ditugaskan untuk menyelenggara sistem keselamatan Fukushima sebelum berlakunya gempa bumi.

 

Israel Firm

gambar diambil daripada laman rasmi berita Israel, Haaretz (rujuk disini)

LEBIH PARAH lagi Stuxnet ini turut dilancarkan dari server yang ada di MALAYSIA! 

Panjang cerita Stuxnet kalau hendak dibicara tapi pokoknya ialah sempadan maya negara kita sudah bocor di mana virus yang amat bahaya untuk sebarang sistem kawalan industri yang berkomputer berjaya lolos masuk dan bertindak ke atas NPP di negara lain melalui jaringan maya.

Kembali kepada pembentangan wakil Mitsubishi tadi, Encik Ogata itu hanya memberi jawapan yang umum saja dan tiada dibangkitkan perihal Stuxnet. Agak hampa.

Saya tak puas hati dan ketika waktu makan tengah hari, saya meluangkan masa dengan delegasi dari Iran. Saya tanyakan hal yang sama tapi jawapan yang mereka berikan pun agak hampa. Saya fikir apakah mereka sebenarnya naif (nuclear nerds) atau ini merupakan protokol biasa yang dipegang oleh pengamal dan pakar nuklear untuk tidak sentuh hal-hal sensitif khusus melibatkan politik dan ketenteraan.

Tahun 2015 ini juga bakal menyaksikan penguatkuasaan Konvensyen Tambahan berkenaan Pampasan  ke atas Sebarang Kemalangan melibatkan Nuklear (Convention on Supplementary Compensation for Nuclear Damage – CSC) yang berusaha untuk memujuk semua negara samada yang ada nuklear atau tidak untuk bersama-sama menerimanya.

Bilamana sudah dikuatkuasa, CSC akan menjadi payung perundangan antarabangsa untuk sebarang masalah pampasan kepada mangsa-mangsa yang terkesan dengan kemalangan yang melibatkan nuklear.

Ianya juga bertindak seperti tabung insurans yang akan membantu negara-negara yang terbabit dalam ruang lingkup zon khas ekonomi (exclusive economic zone) dan juga meletakkan parameter  liabiliti kewangan untuk pengendali NPP (operator), had masa untuk sebarang tuntutan yang melibatkan perundangan, dan segala bentuk insurans dan kewangan.

Rumusan Ringkas

Nuclear Power Asia 2015_Wan Fayhsal_1

Tolak Obama, kesemua gambar di atas adalah kuasa besar Eurasia yang bakal mencaturkan masa depan industri tenaga termasuklah nuklear.

Melihat dan mendengar yang tersurat dan tersirat sepanjang 3 hari tersebut, saya yakin Maqasid kita dalam membuat pertimbangan untuk “go nuclear” di Malaysia belum lengkap kalau kita tak ambil kira faktor Pertahanan dan Geopolitik.

Ya saya adalah penyokong kuat untuk “Malaysia Go Nuclear” bukan sekadar untuk tenaga (yang sebenarnya kecil saja sumbangan ke dalam “Energy Mix” negara) tapi lebih penting sebagai satu Ribat (Fortress) pertahanan negara.

Mungkin ada yang tanya dan risau tentang kos, juga isu Non Proliferation Treaty(NPT) – jangan risau itu beres kalau kita nekad dan faham Maqasid al-Shari’ah untuk MALAYSIA GO NUCLEAR – sudah tentu pilihan saya ialah dengan ROSATOM, Insha-Allah akan saya huraikan dalam kesempatan akan datang.

 

Wan Ahmad Fayhsal

Fellow Putra Business School

Dipetik daripada blog beliau: Rausyanfikir

Tags: ,

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda