Dunia secara umumnya dan Malaysia secara khususnya melihatkan berlakunya beberapa peristiwa yang berbeza dari segi zahirnya, namun dari sudut intipatinya kesemua peristiwa ini nasional mahupun internasional mempunyai satu noktah yang sama, berlegar di sekitar kebebasan individu dan hak asasi manusia.
     Rentetan isu Charlie Hebdo (serta beberapa isu pasca tembakan tersebut), isu Islamic State (IS), Eric Paulsen vs JAKIM dan beberapa isu minor lain, kesemua isu berputar dengan satu skrip yang sama, namun dengan unsur latar dan watak yang berbeza. Idea dan falsafah yang menjadi tiang asas segala isu ini tidak pernah berubah dan sentiasa serupa, iaitu antara liberalisme rasional dan konservatisme agama (seperti yang diistilahkan oleh mereka).
     Ini membawa kita kepada satu persoalan, benarkah agama itu disifatkan sebagai konservatif, mengongkong dan mempunyai pelbagai redline dalam setiap perkara? Begitu juga sebaliknya, adakah rasional itu bebas secara mutlak dan tiada apa-apa batasan yang menyekat keupayaan akal dan rasional?
 
KEBEBASAN DAN BATASAN PEMIKIRAN
     Apabila majalah satira Charlie Hebdo melancarkan kartun-kartun mereka yang secara jelas menghina agama Islam, mereka berlindung di sebalik hujah kebebasan bersuara dan menyuarakan pendapat. Dengan melontarkan beberapa pandangan untuk menguatkan hujah kebebasan bersuara mutlak, mereka secara konsisten memlakukan provokasi yang melihatkan syarikat mereka menjadi ancaman beberapa kelompok Muslim yang jelik dengan tindakan yang tidak bertamadun tersebut.
     Ironinya, para pendokong JesuIs Charlie terlupa tentang asal usul bagaimana gambaran sebenar liberty (kebebasan) yang menjadi asas kepada Revolusi Perancis pada tahun 1798. Tidak pernah wujud istilah kebebasan mutlak yang menjadi tiket untuk segala kecaman dan hinaan yang berlaku hari ini dalam kamus falsafah Barat (apatah lagi falsafah Islam). Jika wujud teori sedemikian rupa, maka teori itu tidak praktikal dalam konteks politik dan sosial negara yang wujud pada setiap zaman.
     Bukti yang ada sangat banyak untuk dihuraikan. Sebagai contoh, perkahwinan dikira menjadi satu limitasi kepada lelaki untuk mempunyai hubungan kelamin dengan perempuan lain selain isterinya (undang-undang sekular hanya membenarkan lelaki berkahwin dengan seorang wanita sahaja). Ini dikira satu redline yang menghalang suami untuk bebas berkahwin dengan wanita lain. Bukankah ini sudah menghalang kebebasan yang sepatutnya menjadi hak mutlak seseorang individu?
     Tanpa perlu membuka bab Principle of Hate and Hate Speech yang disyarahkan oleh John Stuart Mill, umum sudah boleh merumuskan dalam mana-mana negara yang mengamalkan konsep kebebasan bersuara (dalam falsafah Barat) akan ada beberapa sekatan serta halangan untuk menyuarakan pendapat sesuka hati. Kebebasan seseorang mempunyai limitasi, iaitu pada kebebasan orang lain. Seseorang itu bebas untuk melakukan dan menyuarakan apa sahaja yang dia inginkan, dengan syarat kelakuan dan suara beliau tidak mencerobohi privasi serta kebebasan orang lain. Apabila kedua-dua unsur ini diganggu, kerajaan mempunyai hak untuk masuk campur kerana perbuatan terbabit sudah menyalahi konsep asas dalam kebebasan seperti yang ditakrifkan oleh Barat.
     Begitu juga dalam perundangan sivil Barat, terdapat beberapa akta yang menyekat kebebasan bersuara individu ataupun organisasi, seperti fitnah, ancaman, hasutan, pengkhianatan, hakcipta ucapan, kata-kata kesat, memberi ucapan terbuka tanpa permit, bercakap tentang rayuan kes di luar mahkamah selepas Yang Arif melarangnya, mendedahkan rahsia dan strategi negara dan lain-lain klausa yang berkaitan. Kebebasan bersuara hanyalah sebuh retorik dan falasi, kerana esensi kebebasan itu sendiri sudah tidak wujud apabila diimplementasikan dalam struktur sosial dan negara. Maka, ini menatijahkan sebuah teori baru, adakah sebenarnya wujud kebebasan (secara khususnya kebebasan bersuara) dalam konteks falsafah Barat yang diagungkan itu? Bahkan Mill sendiri berhujah bahawa setiap ucapan yang mencabul nilai-nilai kebaikan sepatutnya dilarang sama sekali.

 

MENILAI KONSEP KEBEBASAN DAN KEBAHAGIAAN MANUSIA

Liberty (yang mengagungkan nilai individualisme dan hak asasi) bukan dicipta semata-mata untuk mencapai zat kebebasan itu sendiri. Sebenarnya segala aliran falsafah yang tumbuh dari bumi ini wujud supaya manusia mencapai satu tujuan yang lebih besar, iaitu kebahagiaan dan kepuasan hidup, sebagaimana agama yang diturunkan dari langit yang bertujuan untuk menunjukkan kepada umat tentang kebahagiaan hakiki dan abadi di Akhirat.

Jadi,  idea kebebasan bersuara mutlak yang dicanangkan dilihat tidak mampu membawa manusia kepada kebahagaian yang diinginkan dari asal usul wujudnya falsafah liberty. Umum mengetahui, kebebasan bersuara mutlak yang tidak mempunyai sekatan dan batasan sentiasa akan mewujudkan provokasi, permusuhan dan kontroversi dalam struktur sosial negara yang mempunyai pelbagai etnik dan agama. Kebebasan mutlak menjadi paradoks kepada kebahagiaan yang diinginkan. Sebab itu para pejuang hak asasi perlu menilai kembali perjuangan mereka, adakah hak asasi dan liberty itu menjadi matlamat atau hanya sekadar alat untuk mengejar matlamat?

Kebebasan bersuara yang mempunyai sekatan (seperti yang diamalkan dalam sistem Islam) tidaklah bermakna sekatan umpama konservatisme yang diamalkan gereja Katolik ketika zaman Pertengahan, bahkan jauh sekali perbezaannya. Gereja ketika itu memonopoli kebenaran dan segala pandangan yang bertentangan dengan gereja akan dikira sebagai heresy (murtad dalam istilah Kristian), lalu dihukum. Konsep kebebasan bersuara tanpa had perlu dibezakan dengan kritikan dan perbezaan pendapat dengan kerajaan serta autoriti yang berkuasa.

KESIMPULAN

     Retorik, paradoks dan kedangkalan melatari setiap aliran falsafah yang dirumuskan oleh akal manusia. Kalau akal itu tiada batasan dan mampu memikirkan segala-galanya, kenapa Allah menurunkan juga wahyu melalui Rasul-Nya? Bukankah akal dan wahyu kedua-duanya merupakan kurniaan Tuhan kepada manusia? Persoalan yang sama juga, kenapa manusia dianugerahkan dengan akal walaupun sudah mempunyai wahyu sebagai panduan dalam berfikir?

Logik akal semata-mata tidak mampu menyimpulkan formula yang terbaik untuk umat manusia. Sehebat mana pun seorang mufakkir itu, paling jauh dia hanya mampu merumuskan sifir perubahan yang terhad untuk zaman dan tempat beliau sahaja. Sebagai contoh, ketika Jerome dan Hus mula mengangkat panji melawan dogmatimse gereja Roman Katolik (sebagai simbol melawan agama untuk kemajuan tamadun), jiran mereka di Andalusia dan Sicily (umat Islam) terus maju dan mencapai kemuncak ketamadunan dengan menjadikan agama sebagai teras peradaban.

Kesimpulannya, akal tanpa wahyu adalah buta, Wahyu tampa akal adalah sia-sia. Seperti kata Prof Dr Ahmet Davutoglu dalam magnum opusbeliau, Alternative Paradigm; The Impact of Islamic Weltanchauungs on Political Theory, hubungan wahyu-akal ini adalah at-takamul (saling melengkapi) dan bukan at-tadharub (saling bertentangan).

AMAR ISMAT BIN MOHD. NASIR
Jabatan Aqidah dan Falsafah,
Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah.

Tags: , ,

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda