AF 1

 

Bab 1: Pengenalan


Rupert Emerson adalah seorang Political Scientist dan pakar International Relation dari Amerika. Fokus kajian beliau adalah terhadap perkembangan nasionalisme di Asia dan Afrika. Di dalam buku ini, Emerson cuba untuk mengkaji perkembangan polisi British di Tanah Melayu sewaktu zaman penjajahan. Tesis buku ini adalah membandingkan sejarah dan struktur politik antara Tanah Melayu (di bawah British) dan Hindia Belanda (di bawah Belanda).

Mission Civilisatrice. Secara literal, maksudnya adalah misi mentamadunkan manusia. Itulah salah satu tujuan kolonialisme, iaitu untuk memajukan umat manusia mengikut konteks mereka. Apa yang Emerson cuba sampaikan melalui buku ini adalah bagaimana pemerintahan berlaku selepas penjajahan terhadap Tanah Melayu (Malaya) dan Hindia Belanda (Indonesia di bawah pemerintahan Belanda). Asalnya, pemerintahan dilakukan berdasarkan konsepdirect rule, iaitu segala urusan pemerintahan dijalankan kolonial secara terus dan langsung. Namun, konsep indirect rule mula digunakan setelah kerajaan-kerajaan Eropah ditekan oleh masyarakat untuk menggunakan cara yang lebih manusiawi. Indirect rule adalah cara pemerintahan yang melibatkan masyarakat tempatan, di mana kolonial melantik mereka untuk menjalankan pentadbiran sambil diawasi mereka. Antara contoh yang biasa didengari adalah sistem residen dan penasihat British di Tanah Melayu.

 

Polisi Imigresen (Immigration Policy)  

Statistik daripada bancian yang dibuat pada tahun 1931 menunjukkan kaum Melayu merangkumi 44.7% daripada populasi penduduk di Malaya pada ketika itu, diikuti kaum Cina sebnyak 39%, kaum India sebanyak 14.2% dan selebihnya adalah bangsa-bangsa lain.

Emerson berpendapat bahawa penduduk asal Tanah Melayu bukanlah orang Melayu kerana asal penduduk Melayu adalah dari Sumatera dan menurutnya lagi, sumber antropologi orang Melayu masih lagi menjadi tanda tanya. Persoalan tentang definisi Melayu dan Sumatera yang dimaksudkan Emerson tidak terjawab. Dari segi demografi, kaum Melayu tidak melebihi separuh daripada penduduk di Tanah Melayu pada tahun 1931. Pertambahan bangsa lain dalam komposisi masyarakat Malaya adalah disebabkan oleh polisi British yang membawa masuk golongan pendatang ke Tanah Melayu. Kaum Melayu, pada awalnya, menentang penjajahan secara pasif, iaitu dengan tidak menyertai program ekonomi British. Buruh kasar sangat diperlukan pada ketika itu untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah, namun masyarakat Melayu lebih gemar dengan ekonomi sara diri. British mengambil tindakan membawa masuk pendatang dari Cina untuk mengerjakan lombong timah dan golongan India untuk bekerja di ladang getah. Pada asalnya, kedua-dua golongan ini tidak berhasrat untuk menetap di Tanah Melayu. Buruh dari Cina dan India juga bukan daripada golongan berada dan mereka tidak membawa sumber kewangan yang banyak bersama mereka.

Proses pengangkutan kedua-dua kaum pendatang di tanah Melayu ini sangat berbeza. Bagi kaum Cina, pengangkutan mereka diuruskan oleh organisasi rahsia yang mendapat untung daripada transaksi yang dikenali sebagai ‘pig business’. Buruh-buruh ini dilayan dengan begitu kasar sekali sehingga British terpaksa campur tangan dalam proses penghantaran mereka. Golongan Cina ini terdiri daripada pelbagai puak, dan mereka memang tidak boleh duduk sebumbung sewaktu di tanah besar. Namun, apabila tiba ke Malaya, mereka bersatu dan membentuk sistem kekeluargaan yang besar. Antara kesan positif sistem ini adalah sokongan dalam ekonomi sesama mereka, manakala kesan negatif pula adalah pembentukan triad Cina yang lebih cenderung untuk melakukan keganasan. Bagi masyarakat India, pengangkutan mereka dikawal sangat rapi oleh kerajaan India. Oleh sebab kerajaan Negeri-negeri Selat dan kerajaan India adalah di bawah satu pentadbiran, urusan komunikasi sesama mereka menjadi mudah. Kerajaan India mengangkat segala sekatan imigresen untuk menghantar buruh ke Malaya. Sepanjang proses pengangkutan, buruh-buruh ini dikawal dengan rapi dan dijaga kebajikannya. Konsep Penal Sanction; buruh kontrak yang dilayan seperti hamba telah dihapuskan daripada proses imigresen kaum India. Masyarakat India tidak bersatu seperti kaum Cina. Mereka terpecah mengikut kelas-kelas stratifikasi dan mereka lebih mengharapkan orang dan kurang bergantung pada diri sendiri. Mereka terus menerus hidup secara ekslusif daripada pembangunan luar.

Jika hendak dibandingkan dengan Hindia Belanda, hanya 2% dari populasi masyarakat terdiri daripada masyarakat Cina. Selebihnya adalah masyarakat tempatan dan segelintir kecil sahaja masyarakat Eropah. Pemerintahan Belanda terpecah kepada dua; iaitu di Jawa dan kepulauan luar (Acheh, Sumatera, dan Borneo). Majoriti aktiviti pertanian yang dijalankan di Jawa tidak mengalami masalah kekurangan buruh. Oleh itu, tiada keperluan untuk Belanda membawa masuk buruh asing.

 

Polisi Ekonomi (Economic Policy)

Industri bijih timah di Tanah melayu mula berkembang selepas British membawa masuk pendatang Cina. British dan masyarakat Cina adalah pemain terbesar dalam industri ini, di mana British menguasai majoriti pasaran dan diikuti dengan Cina. British mempunyai kelebihan teknologi, dan Cina mempunyai kelebihan tenaga buruh dan sistem sokongan keluarga. Pada ketika itu, Tanah Melayu mengeluarkan lebih daripada satu pertiga produksi dunia untuk bijih timah. British memberi pelbagai peluang kepada kaum Cina selain peluang dalam pentadbiran. Bukanlah suatu yang mengejutkan bagi Tanah Melayu juga turut menyertai Revolusi Perindustrian seperti Amerika dan Britain kerana berkembang pesatnya industri pembuatan di Negeri-negeri Selat. Singapura dan Pulau Pinang merupakan pusat dunia bagi industri mencairkan timah. Peluang pekerjaan yang lahir daripada industri ini menguntungkan para pendatang dan merugikan kaum Melayu.

Industri getah pula menampakkan penguasaan British dan kaum Cina, dan selebihnya diusahakan oleh kaum Melayu dan India secara kecil-kecilan. Pada asalanya, British bereksperimen dengan tanaman seperti kopi dan tebu namun tidak berhasil. Getah di Tanah Melayu mula mendapat tempat setelah penemuan proses vulcanization of rubber dan perkembangan industri automotif secara pesat. Ladang terbesar dikuasai British dan kaum Cina, manakala orang Melayu mengusahakan ladang kecil-kecilan. Orang Melayu masih lagi mengekalkan konsep sara hidup, di mana untung daripada getah akan digunakan untuk tanaman lain. Emerson menggelarkan orang Melayu dengan ‘inferiority of Malays in large scale production’ (sikap inferior orang Melayu dalam menyertai produksi besar-besaran). Menurutnya, kaum melayu malas melakukan kerja lebih dan mengharapkan orang tengah untuk memasarkan hasil getah mereka. Ini menyebakan mereka gagal bersaing dengan kaum Cina pada ketika itu.

Selepas kejatuhan harga getah dunia, rancangan Sekatan Stevenson diperkenalkan pada tahun 1922 bagi menaikkan kembali harga getah. Ladang-ladang dihadkan kuota pengeluaran. Kesannya, ekonomi sara diri kaum Melayu terjejas teruk berbanding ekonomi profit maximization ladang-ladang besar. British juga terlampau fokus terhadap tanaman getah sehingga tidak memberi perhatian kepada penanaman padi, iaitu makanan ruji masyarakat setempat. Akibatnya, 40% daripada sumber beras Tanah diimport dari Siam dan India.

Keadaan di Hindia Belanda berbeza sedikit dengan Tanah Melayu. Belanda mengeksploitasi apa yang dikenali sebagai Indonesia lebih lama daripada British mengeksploitasi Tanah Melayu. Mereka mula menguasai Hindia Timur dengan mengenakan polisi direct rule, di mana mereka menguruskan sendiri sistem pertanian masyarakat di Jawa. Pertanian teh, kopi, ubi kayu dan getah sangat menguntungkan Belanda. Malangnya, masyarakat setempat tidak merasa kemewahan itu. Jika di Malaya, sekurang-kurangnya golongan pendatang bertambah peluang pekerjaan mereka, namun tidak sama situasinya di Hindia Belanda. Sewaktu Great Depression berlaku di Amerika, Belanda di Hindia Belanda hampir mengalami bankrap. Untuk melawan kegawatan ekonomi ini, mereka mengambil dua tindakan. Pertama, Belanda mengenakan rancangan sekatan untuk getah, timah, dan teh. Kedua, polisi perdagangan mereka diperketat. Mereka mengenakan tariff dan kuota import. Kuota ini lebih diarahkan kepada Jepun kerana pertambahan import mereka dalam industri tekstil ke Hindia Belanda.

 

Polisi Tanah (Land Policy)

Akibat kemasukkan pendatang asing yang tinggi, sebahagian negeri-negeri Melayu mendesak British untuk mewujudkan Tanah Rizab (reserve) Melayu. Kawasan rizab ini diperkenalkan.

Di samping itu, di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, tanah yang tidak dimiliki oleh kerajaan Persekutuan diserahkan kepada negeri-negeri ini. Sultan pada waktu itu tertakluk kepada sistem Residen, di mana segala nasihatnya perlu diikuti. Secara tidak langsung, British masih menguasai pemerintahan. Inilah yang dinamakan indirect rule. Residen berkuasa menentukan nasib tanah tersebut. Kebiasaannya, tanah akan disewakan kepada syarikat swasta dan Residen juga berhak menentukan tanaman apa yang sepatutnya ditanam di sesuatu kawasan. Ini merugikan penduduk tempatan yang ingin melakukan pertanian sara diri. Jika ada yang berminat untuk melombong suatu kawasan, mereka perlu mendapatkan lesen terlebih dahulu sebelum boleh melakukannya. Polisi tanah di Negeri-negeri Selat agak rumit kerana penduduk masih terikat dengan pelbagaimpolisi penjajah. Contohnya, ada yang sudah mengikat kontrak konsesi tanah dengan Belanda selama 999 tahun, namun ada pula yang mengikat kontrak dengan British selama 99 tahun.

Pada tahun 1870, Hindia Belanda memperkenalkan Agrarian Law. Ini adalah undang-undang tanah baru yang menghapuskan undan-undang tanah mengikut adat masyarakat setempat. Banyak tanah yang dibuka untuk diusahakan oleh pelabur-pelabur asing. Masayarakat setempat asalnya menggunakan tanah tersebut untuk sumber kekayaan dan sara hidup, namun, setelah diambil tanah mereka, segalanya hilang. Belanda yang sedar akan kesilapan ini berusaha membeli tanah daripada syarikat swasta secara perlahan-lahan.

 

Indirect Rule dan Negeri Naungan

Indirect Rule, walaupun pada asalnya dianggap lebih manusiawi, namun hakikatnya lebih teruk daripada direct rule. Inilah pandangan Emerson terhadap konsep yang dibawa kolonial di kawasan jajahannya. Ini adalah salah satu cara bagi mengaburi pandangan masyarakat sekeliling akan perluasan kuasa penjajah.

Dan bagi Emerson, konsep negeri naungan juga sama memberikan makna yang sama seperti indirect rule. Tanah Melayu, walaupun dikenali sebagai negeri naungan British, namun pada pandangan Emerson, ini adalah tetap suatu penjajahan. Negeri-negeri Melayu dikatakan mempunyai kedaulatan sendiri walaupun terpaksa menerima Residen. Namun, negeri-negeri ini tidak ada kuasa memberikan kewarganegaraan kepada penduduknya walaupun mereka ada undang-undang sendiri.

 

Komentari

Sejarah itu berulang. Sistem imigresen sekarang wajar dikaji semula berpandukan sistem imigresen zaman British. Ada kemungkinan, pendatang asing pada masa ini tidak berhasrat untuk menetap di Malaysia, bertukar menjadi warganegara. Jika ini berlaku, kerajaan perlu mengambil kira aspek demografi masyarakat, masa depan sistem pendidikan dan masa depan sistem kebajikan negara.

Kebergantungan Malaysia terhadap import beras dari negara jiran mungkin berpunca daripada polisi British yang mengenepikan suatu aspek ekonomi dan menumpukan sepenuhnya kepada yang lain. Import dan eksport negara perlu dikaji semula agar kita dapat melakukan perdagangan dengan dunia luar secara terbuka, tetapi tidak sepenuhnya bergantung kepada open-trade ini. Kita perlu mewujudkan pasaran domestik kita sendiri untuk bersedia pada masa hadapan.

Ada suara-suara mengatakan bahawa negara kita tidak pernah dijajah kerana kita menjadi negeri naungan. Jika lihat hujah Emerson sekali lagi, kita dapat lihat bahawa naungan itu hanyalah suatu ilusi bagi menampakkan penjajah berniat baik. Kita perlu juga lihat pada konteksnya dan bukan hanya nama.

Oleh:

AF

 

 

 

Amirul Faris terlibat dalam unit kajian sejarah IRIS Institute. Beliau merupakan mahasiswa BS of Public Affairs Management di Indiana University Bloomington, USA. Mempunyai minat yang mendalam dalam perhubungan antarabangsa, beliau kini menumpukan pengkajiannya dalam isu sukan dan diplomasi. Beliau kini mula menceburkan diri dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan di luar negara bagi membantu mereka yang memerlukan. Hasrat beliau di dalam dunia perangkaan polisi ini adalah untuk memberi kesan dalam proses pembuatan polisi secara tidak langsung.

Sumber: http://www.iris.institute/v1/2015/01/ringkasan-a-study-in-direct-and-indirect-rule-by-rupert-emerson/

Tags:

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda