hijab-demo-17jan04-753

Saya tertanya-tanya mengapa ada juga orang Islam terutamanya pelajar jurusan Agama yang tidak habis-habis mempromosi idea bahawa hijab bukan urusan negara. Negara tidak berhak untuk meletakkan undang-undang yang mewajibkan muslimah supaya memakai hijab.
Di Eropah, ulama’ berusaha keras menentang akta pengharaman pemakaian hijab. Di sini ada pula orang muda yang seolah beriya-riya menafikan hak negara / pemimpin islam terhadap isu hijab.

Apa motifnya ya? Adakah untuk memperjuangkan idea sekular dalam pemerintahan?

Izinkan saya untuk berbeza pendapat dengan kalian dan berkomentar sedikit :

1) Kita semua maklum bahawa untuk menegakkan hukum Allah di dunia ini perlu berperingkat. Ia juga perlu mengambil kira banyak aspek yang lain seperti fiqh awlawiyyat, fiqh Waqie dan sebagainya. Banyak lagi perkara utama yang perlu diselesaikan sebelum membuat akta pemakaian hijab. Masyarakat tidak boleh menerima suatu undang-undang kalau tanpa bersedia. Ya, ini kita semua sudah maklum.

2) Cuma, mengatakan hijab bukan urusan negara adalah تعميم خطأ (satu generalisasi yang salah). Mana mungkin berlaku pemisahan antara Islam dan Negara. Mana mungkin hukum-hukum Syara’ dapat ditegakkan di dunia ini tanpa ada sebuah pemerintahan Islam yang hakiki seperti mana yang dijelaskan oleh Dr. Muhammad Emarah, seorang tokoh pemikir Islam dalam bukunya “Ad-Daulah Al-Islamiyyah baina Al-‘ilmaniyyah wa Al-Sultoh Ad-Diniyyah”

3) Kalaulah Islam ini hanya ditegakkan dengan hujah-hujah, wacana-wacana, dan kempen semata, tidak lah Rasulullah dan Umat Islam terdahulu bersusah payah berusaha membina sebuah negara Islam. Tidaklah juga wujud hukuman Ta’zir yang dibincang panjang oleh Fuqaha’. Kata Khalifah Saidina Uthman : “Sesuatu yang tidak dapat dicegah oleh Al-Quran, maka Allah akan mencegahkannya dengan kuasa pemerintah”.

4) Kaedah Fiqhiyyah ada menyebut “تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة” . Tindak tanduk Imam (pemimpin) ke atas rakyatnya tertakluk pada Maslahah (kebaikan) . Imam memang berhak untuk menentukan Masalih Mursalah. Maka antara Masalih dalam meng-akta-kan pemakaian hijab adalah untuk menjaga biah (suasana). Kita pun sudah maklum bahawa antara tugas utama/asasi pemerintahan Islam adalah menyediakan ruang yang kondusif untuk orang Islam melaksanakan agamanya.

5) Ramai orang hatta orang Islam sendiri sering salah faham tentang konsep pemerintahan Islam dan undang-undangnya, sehingga merasakan pemerintah muslim (bagi negara Islam yang hakiki) yang melaksanakan undang-undang tertentu adalah pemerintah diktator, tirani, yang memaksa dan menekan rakyatnya.

6) Hakikatnya, dalam konteks perlaksanaan undang-undang, Islam tidak bergantung kepada undang-undang semata-mata, malah Islam bertindak lebih dari itu lagi. Ia berusaha membersihkan jiwa manusia agar mereka sanggup mematuhi undang-undang itu dengan dorongan hati yang murni. Bukan semata-mata kerana takut kepada kuasa pemerintah sahaja. Ini tidak syak lagi merupakan satu polisi yang bijaksana untuk menegakkan undang-undang dalam masyarakat seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Qutb dalam bukunya “As-Syubhat Hawla Al-Islam”.

*Point-point saya di atas adalah membincangkan “apa yang sepatutnya berlaku”. Ia tidak bermakna wajib berlaku sekarang atau dilaksanakan sekarang, sepertimana kita imani bahawa penegakan Hukum-Hukum Syara’ di dunia ini berlaku secara berperingkat.

Wallah A’lam.

oleh:

24328_1229394785647_7944184_n

 

 

 

 

 

Ahmad Khairuddin
Penganalisa Ekonomi 

Tags: , , ,

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda