hpqscan0003

ISLAM MASUK KE ALAM MELAYU

“Syahdan, maka baginda pun beristerikan anak Tun Perpatih Permuka Berjajar, beranak dua orang laki-laki, seorang bernama Raja Kecil Mambang, dan seorang Raja Megat namanya, Telah berapa lamanya Raja Kecil di atas kerajaan, maka baginda bermimpi pada suatu malam, berpandangan dengan keelokan Rasullullah sallallahu alaihi wasallam. Maka sabda Rasulullah pada Raja Kecil Besar, ‘Ucap olehmu kalimah syahadat.’

Maka dituruti oleh Raja Kecil Besar seperti sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam itu. Maka sabda Rasulullah, ‘Adapun namamu Sultan Muhammad; esokhari waktu asar matahari, datang sebuah kapal dari Judah, turun orangnya sembahyang di pantai Melaka ini; hendaklah engkau ikut barang katanya.’

Maka sembah Raja Kecil Besar, ‘Baiklah, Tuanku, yang mana sabda junjungan itu tiada hamba lalui.’

Maka Nabi sallallahu alaihi wasallam pun ghaiblah.

Setelah hari siang, maka baginda pun terkejut daripada beradu. Makadicium baginda tubuhnya bau narwastu, dan dilihat baginda kalamnya pun seperti sudah khatan. Maka pada hati Raja Kecil Besar, ‘Bahawa aku ini bermimpi rupanya, bukan setan.’

 

Hatta, maka hari pun asarlah; maka datanglah sebuah kapal dari Judah. Serta ia berlabuh, maka turunlah makhdum dari kapal itu, Saiyid Abdul Aziz namanya, lalu ia sembahyang dipantai Melaka itu. Maka hairanlah segala orang Melaka melihat dia. Maka kata segala orang Melaka, ‘Mengapa ia ini tunggang tonggek?”

Maka berebutlah orang melihat ia penuh sesak, tiada bersela lagi, dan haru birulah bunyinya sampai ke dalam. Maka raja pun segera naik gajah lalu berangkat keluar, diiringkan oleh segala orang besar-besar. Maka dilihat rajalah kelakuan makhdum sembahyang itu nyatalah seperti ang ada di dalam mimpinya itu. Maka titah raja kepada Bendahara dalam kepada segala orang besar-besar, ‘Nyatalah demikian seperti dalam mimpiku itu.’

Setelah sudah makhdum sembahyang, maka raja pun menderumkan gajahnya. Maka makhdum pun dibawa baginda naik gajah, lalu dibawa masuk ke dalam. Maka bendahara dan segala orang besar-besar pun semuanya masuk Islamlah, dengan sekalian besar kecil, tua muda, perempuan laki-laki, semuanya disuruh baginda masuk Islam. Maka baginda pun berguru kepada makhdum akan tertib sembahyang. Maka raja pun dinamai oleh makhdum, Sultan Muhammad Syah.

Berikut adalah catitan di dalam Sulalatus Salatin mengenai pengislaman Sultan Melaka dan rakyat jelata. Setelah pengislaman kesultanan Melaka, Melaka menjadi sebuah pusat penyebaran agama Islam di nusantara dan seluruh pelusuk alam Melayu telah berjaya disebarkan maka berkembang dan bertambahlah orang yang memeluk agama Islam.

Islam masuk ke alam Melayu dalam suasana yang sangat harmoni, tiada pertumpahan darah atau perbalahan mengenai agama nenek moyang mereka. Jika dilihat ketika dakwah Rasullullah kepada bangsa Arab sendiri mendapat tentangan hebat dari bangsa arab yang ingin mengekalkan agama nenek moyang mereka sehingga Nabi SAW sendiri terlibat dalam beberapa peperangan. Jika berdasarkan kitab Sulalatus Salatin, diceritakan Sultan Melaka ketika itu mendapat alamat dalam mimpinya mengenai kehadiran pedagang dari arab yang membawa agama Islam dan disuruh memeluk agama itu. Apabila sultan memeluk agama Islam maka berbondong-bondonglah rakyat jelata memeluk agama Islam. Namun, jati diri Islam itu kuat dan sehingga menjadi sinonim dengan bangsa melayu sehingga ke hari ini.

Walaupun terdapat beberapa teori mengenai kedatangan Islam ke alam Melayu, namun para pengkaji bersetuju bahawa penerimaan agama Islam di alam Melayu sangat aman dan harmoni.

Perkembangan Islam di alam Melayu bertambah pesat apabila pelabuhan Melaka menjadi perantaraan antara Timur dan Barat melalui jalan laut. Kehadiran ulama’ dan pendakwah dari Jazirah Arab dalam menyampaikan agama Islam disambut baik oleh sultan dan sultan sendiri belajar untuk mendalami ilmu agama Islam dengan menjemput mengajar di istana.

 

MELAYU DAN ISLAM SINONIM

Bangsa melayu sangat sinonim dengan islam. Keduanya sudah sebati bagaikan satu jiwa. Sebagaimana Arab dan Turki dikenali sebagai bangsa Islam, begitulah juga Melayu. Ini adalah pencapaian terbesar yang berjaya dicapai oleh kaum Melayu berbanding kaum lain yang mempunyai sejarah yang hebat dalam memperjuangkan Islam sebelum ini. Proses kristianisasi yang ingin disebarkan oleh mubaligh pada era penjajah juga tak mampu kerana kuatnya pegangan islam dalam diri orang Melayu. Frank Sweetenham berkata: ‘’Christian missionaries of all denomination have apparently abondoned the hope of converting them ‘’

Kedatangan Islam sememangnya telah memperbaiki dan menyempurnakan falsafah hidup dan pemikiran orang Melayu. Kaum Melayu amat menghargai ajaran islam dan berpegang dengannya. Di sepanjang lipatan sejarah kita dapati banyak usaha yang dilakukan oleh untuk mengukuhkan kedudukan Islam di nusantara.

Demi mengukuhkan Islam di dalam diri orang Melayu, satu usaha yang panjang dan konsisten telah dilakukan. Ini termasuk menyebarkan ajaran Islam yang murni ke seluruh nusantara dan juga usaha mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi sebagai identiti Islam orang Melayu. Ia juga meliputi usaha memahami ilmu-ilmu islam dan menyebarkannya di dalam masyarakat Melayu. Selain itu, penggubalan undang-undang juga boleh dilihat sebagai satu usaha pengukuhan sistem islam di dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu juga dilihat telah menggunakan sepenuhnya kebolehan mereka didalam seni untuk mengukukuhkan Islam.

 

Hari ini jika disebut Melayu, secara automatik beragama Islam. Tapi jika seorang Melayu itu menukar agama selain Islam dia perlu meletakkan agama barunya selapas perkataan Melayu sebagai contoh Melayu-Kristian, Melayu-Hindu bagi membezakan agamanya dengan agama dari frasa kata melayu itu yang secara mutlak merujuk kepada agama Islam ahlus sunnah wal jamaah. Berbeza dengan bangsa Cina dan India apabila mereka memeluk agama Islam perlu digelar Cina muslim, India muslim bagi menentukan agama yang dianutinya dan bangsa cina tidak sinonim dengan agama Buddha begitu juga India dengan agama Hindu. Sekiranya diambil secara mutlak perkataan Melayu itu secara mutlak maka ia akan merujuk bahawa Islam adalah agamanya. Begitu jugalah yang sudah termaktub didalam perlembagaan persekutuan dalam menentukan melayu:

 

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapaura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura, maka itulah orang Malayu. Sebab itulah apabila bangsa lain yang memeluk agama Islam di Malaysia orang akan sebut “masuk melayu”.

 

GELARAN SULTAN

 

Seringkali kita dipropagandakan oleh sesetengah golongan yang mengatakan bahawa ungkapan “Duli Yang Maha Mulia” adalah haram hukumnya untuk digunakan kerana ianya dikatakan bahawa rakyat menyamakan ketinggian ataupun kemulian seorang sultan sama tahapnya dengan Allah. Saya masih teringat ketika masih di bersekolah dulu yang mana saya bersekolah di negeri Selangor, maka nyanyian lagu negeri yang bertajuk “Duli Yang Maha Mulia” mesti dinyanyikan tiap kali acara perhimpunan sekolah diadakan.

Jika dilihat, setiap Sultan pasti memegang satu gelaran sebelum perkatan Sultan bagi negeri yang mempunyai sultan atau raja yang bertakhta.

  1. SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah
  2. Al-Wathiqubillah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafibillah Shah (Sultan Terengganu)
  3. DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Saladdin Abdul Aziz Shah Al-Haj (Sultan Selangor)
  4. DYMM Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar (Sultan Johor)
  5. DYMM Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir (Negeri Sembilan)
  6. Duli Yang Maha Mulia(DYMM) Sultan Haji Ahmad Shah (Sultan Pahang)
  7. Duli Yang Maha Mulia(DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (Sultan Perlis)
  8. Duli Yang Maha Mulia(DYMM) Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafaru’llahulahu (Sultan Perak)
  9. DYMM Sultan Muhammad Ke-V (Tuanku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra) (Sultan Kelantan)

 

Dalam isu “Duli Yang Maha Mulia(DYMM)” dan hampir semua sultan memakai gelaran ini. Kita mesti mengkaji semula sejarah frasa ini digunakan. Pertama kita perlu ketahui bahawa terma “Duli” mengikut laras Bahasa Melayu kuno bermaksud habuk. Habuk ini bolehlah disamakan dengan sifat seorang hamba. Makanya, “Duli” membawa pengertian tentang sifat seorang hamba.

 

Manakala, ungkapan “Yang Maha Mulia” pula dimaksudkan oleh orang Melayu lama sebagai Allah. Ini kerana Allah itu adalah tuhan bagi orang-orang Islam dan hanya Allah yang memiliki segala-gala yang berada di alam semesta ini. Yang Maha Berkuasa lagi Yang Maha Mulia. Maknanya, penggunaan ungkapan “Duli Yang Maha Mulia” kepada sultan sememangnya tidak salah untuk digunakan kerana ianya adalah simbol ataupun lambang bahawa sultan-sultan adalah hamba ataupun khalifah kepada Allah di bumi untuk menjalankan hukum-hukum Allah.

 

Begitulah berseninya ketamadunan Melayu dalam menyampaikan laras bahasa. Maka kita sebagai generasi baru hari ini janganlah cepat melatah tanpa melakukan sebarang pengkajian usul periksa. Sesungguhnya ilmulah yang membezakan di antara mereka yang cerdik dengan mereka yang dangkal.

 

PERUNDANGAN SEBAGAI SISTEM HIDUP

“Kemudian daripada itu menyurat dia surat ini pada hijrah al-Nabi sallallahu a’laihi wasallam seribu enam puluh enam pada tahun Dzal pada empat hari bulan jamadil-awal pada waktu dhuha mengarang hukom undang-undang ini dalam pelayaran jong-jongansegala yang menaruh jong. Maka, kumulai perkataan ini supaya segala hamba hamba Allah terpelihara dengan kurnia Tuhan Malik al-Jabbar. InsyaAllah Taala supaya sentosa kepada pekerjaan dalam pelayaran supaya jangan bersalahan dan jangan bebal membinasakan adat dalam pelayaran, supaya selamat pekerjaan dilaut dan di darat, supaya selamat segala hamba Allah Taala dalam dunia dan dalam akhirat dan supaya jangan soal bantah di laut dan didarat, jangan bersalahan pada kata dan perbuatan dengan segala handai taulannya, dengan segala sahabatnya yang ada bersama dengan dia dan supaya jangan meniriskan darah segala rakannya yang bersama sama selamanya dengan di nazirnya”.

Demikianlah bunyinya mukaddimah undang-undang laut Melaka.

Satu lagi unsur yang menjadi pelengkap kepada penubuhan Negara mengikut ukuran masyarakat melayu silam adalah adanya ruang hokum didalam negeri. Dengan itu kita melihat, Melaka dan negeri-negeri melayu lain sudahpun memiliki undang-undang adatnya yang tersendiri yang diwarisi secara turun temurun. Undang-undang adat ini tidak bertulis dan terdedah kepada tokok tambah dan campur aduk dengan pelbagai pengaruh yang datang dari luar. Islam mengajar orang melayu untuk berfikir secara sistematik. Apabila orang melayu terfikir untuk menggubal undang-undang bertulis, maka itu adalah petanda perubahan cara fikir orang melayu pada ketika itu.

 

Undang-undang Melaka mula diasaskan di Melaka pada zaman Muhammad Shah (1422-1444). Beberapa tambahan dibuat terhadap isi naskhah di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445-1458). Di zaman Sultan Mahmud Syah, Undang-undang Melaka telah dikarang. Walaupun sebahagian pengkaji menganggap bahawa Undang-undang Melaka tidak memiliki ciri-ciri undang-undang moden barat, tetapi sebahagian pengkaji barat telah menggunakan istilah ‘Code’ dan ‘Digest’ merujuk kepada Undang-undang Melaka. Raffles dan Maxwell misalnya menggunakan istilah ‘Malacca Code’ dan ‘the Maritime Code of the Malays’.

 

Undang-undang ini selain dari fungsinya menjatuhkan hukuman, ia juga menggambarkan kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin Melayu. Undang-undang Laut Melaka misalnya adalah hasil mesyuarat lima orang bijak pandai Melayu iaitu Patih Harun, Patih Elias, Nakhoda Zainal, Nakhoda Buri, dan Nakhoda Ishak. Hasil mesyuarat telah dibawa ke Bendahara Seri Maharaja lalu dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Shah. Sultan kemudiannya memberi keizinan kepada perlaksanaan undang-undang tersebut. Undang-undang Melaka pula dikatakan dikarang oleh Kadi Sadar Jahan, seorang ulama dari Jeddah.

 

Penulisan undang-undang tersebut juga adalah petanda ketamadunan Kerajaan Melayu Melaka. Ini kerana masyarakat Melayu silam hanya terbiasa dengan adat yang kemudiannya bertukar menjadi peraturan lisan. Penulisan undang-undang adalah perkara baru yang dimulakan di zaman Kesultana Melaka. Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka kemudiannya membuka kepada penggubalan undang-undang lain di Tanah Melayu. Undang-undang Kedah, Undang-undang Pahang, Undang-undang Patani, Undang-undang Johor, dan Hukum Kanun Brunei adalah gubahan daripada Undang-undang Melaka.

 

BAHASA & PENULISAN

Pada sebelum islam, masyarakat menggunakan bahasa sanskrit dan sehingga hari ini masih terdapat beberapa perkataaan dalam bahasa sanskrit seperti negara, pertiwi. Kemudian bahasa melayu menjadi bahasa yang dipertuturkan oleh masyarakat. Perkembangan bahasa melayu menjadi lebih luas apabila bahasa perantaraan yang digunakan di pelabuhan entrepot terpenting di dunia adalah bahasa melayu. Dan terdapat bahasa arab yang diserap dan diguna pakai dalam bahasa Malaysia bagi mendekatkan umat melayu dengan bahasa arab dimana agama islam diturunkan dalam bahasa arab. Tidak cukup dengan itu, golongan bijak pandai ketika itu telah menciptakan tulisan jawi dan digunakan oleh umat melayu bagi merapatkan identity melayu dan islam itu sendiri. Dengan ini, terhasilah beberapa huruf seperti “ca”,”nya”,”nga”,”pa”,”vi” kerana sebutan ini tiada dalam lughah arab tapi terdapat dalam bahasa pertuturan melayu. Apabila diperhatikan orang yang boleh guna membaca tulisan Jawi mudah untuk membaca al-Quran, mungkin ini adalah jihad yang dilakukan oleh nenek moyang kita untuk mendekatkan Islam dalam diri generasi yang kemudian.

Perumpamaan-perumpamaan yang terdapat di alam melayu sangat hampir dengan alam. Seperti mana al-Quran membuat perumpamaan dengan alam, begitulah perumpamaan melayu. Contoh: bagai aur dengan tebing, meluntur buluh biar dari rebungnya dan lain-lain.

 

 

RUMAH DAN TEMPAT PERLINDUNGAN

Islam bukan sahaja meresap dalam adat budaya masyarakat, malah sehingga ke teknik pembinaan rumah melayu juga terdapat unsur- unsur islam. Jika diperhatikan rumah- rumah pintu pasti menghadap ke arah kiblat, tandas diletakkan jauh diluar, tidak berpaku, pintu depan dan belakang semua demi menjaga keharmonian ahli keluarga yang tinggal di dalam rumah.

 

ADAT DAN BUDAYA DAN PANTANG LARANG

 

  • membaca talkin di kubur

Jikalau kita mengikuti jenazah si mati ke liang lahad, maka selepas jenazah dikebumikan, maka talkin akan dibacakan. Talkin yang nampak seperti dibaca untuk si mati sebenarnya adalah satu peringatan buat yang masih hidup, begitulah juga santunnya bangsa melayu dalam menyusun adat. Dan bila mana nama si mati dibacakan, nama itu akan dibin atau dibintikan kepada si emak. Hal ini kerana orang melayu tidak mahu mengaibkan si mati ketika di liang lahad.

 

  • adat perkahwinan

Dalam adat perkahwinan, juga dipenuhi nilai-nilai islam yang tidak dapat difahami secara tersurat. Merisik, bertunang, meminang(khitbah), nikah dan kenduri (walimah) semuanya langsung berkait dengan ajaran Islam. Cuma segelintir masyarakat yang berlebih- lebihan sehingga menimbulkan fitnah kepada budaya Melayu itu sendiri sedangkan itu bukanlah yang dibawa oleh nenek moyang kita.

 

Begitulah serba sedikit warisan adat dan budaya Melayu yang sangat berkait rapat dengan ajaran Islam. Hari ini, kita lihat pelbagai ancaman dan seruan untuk menghapuskan jati diri bangsa Melayu pada hari ini. Perbuatan yang dilakukan ini amat sinonim dengan kata-kata di bawah

“Kalau hendak membunuh pokok, bubuhlah racun pada akarnya, kalau hendak membunuh bangsa, bubuhlah racun pada sejarahnya”

Wallahualam

Oleh:

Khir Azril adalah graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meminati seni warisan budaya Melayu. Beliau adalah seorang pengkaji sejarah bebas yang komited mengkaji bahan dan teks-teks lama persuratan Melayu seperti Sulalatus Salatin

 

SENARAI RUJUKAN

  1. Undang-Undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan, Jelani Haron, Universiti Sains Malaysia, 2008
  2. Mohd Abu Bakar di dalam atikel Tanah Melayu Abad ke 19: Pengislaman Penjajahan dan Pemupukan Manhaj Melayu di dalam Islam di Tanah Melayu, Karisma Publication, Shah Alam, 2007.
  3. Kamus Dewan Edisi ke 4, 2005
  4. Liaw Yock Fang, Karya Agung: Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Yayasan Karyawan. Kuala Lumpur, 2003.
  5. Wan Hashim Wan The dan Daniel Perret, Di sekitar konsep negeri, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur 1999
  6. Artikel 160 Perlembagaan Malaysia
  7. http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/maklumat-perkhidmatan/senarai-susunan-kekananan#section=p1
TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda