Ab1

Parti Konservatif yang kini memerintah Britain telah mengumumkan pada minggu pertama bulan Oktober 2014 mengenai rancangan baharu menghapuskan Akta Hak Asasi Manusia 1998 (“HRA 1998″) dan menggantikannya dengan ‘Bill of Rights and Responsibilities” menjelang akhir tahun ini. Tindakan ini akan mengecualikan Britain dari tertakluk pada bidangkuasa dan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia. Ini telah mencetuskan siri perbahasan menarik dan mengundang respons pantas para peguam hak asasi manusia dan kumpulan-kumpulan pembela. Bagi kita di Malaysia, wujud iktibar yang boleh diambil, khususnya dalam mendepani sikap golongan yang terlalu mengagungkan fahaman barat dan mengenepikan kedaulatan negara dalam keghairahan memenuhi tuntutan hak asasi manusia.

Dari satu sudut, pihak Liberty menyifatkan rancangan Parti Konservatif tersebut sebagai ‘buta undang-undang’. Bermacam-macam bukti tentang kebenaran pendapat ini telah pun didedahkan secara terperinci. Jika rancangan Parti Konservatif itu buta undang-undang, maka sebaik-baik andaian adalah bahawa ini suatu helah politik untuk meyakinkan para penyokong tentang sentimen bahawa mereka tidak berpihak kepada Eropah.

Di sisi yang lain pula, pihak yang menyokong HRA 1998 melihat bahawa jika tindakan tersebut dapat menghasilkan pembentukan kerajaan di bawah pentadbiran Parti Konservatif selepas pilihan raya umum pada bulan Mei yang akan datang, besar kemungkinan langkah-langkah akan diambil untuk melemahkan perlindungan undang-undang terhadap hak asasi manusia di Britain. Tekanan politik untuk berbuat demikian akan meningkat lagi jika kerajaan perlu bergantung pada sokongan golongan Pewaham Eropah dalam kalangan Ahli Parlimen untuk mendapatkan bahagian majoriti dalam Dewan Rakyat. Sama ada ini suatu helah politik ataupun tidak, ramai penganalisis berpendapat kerajaan pimpinan Parti Konservatif berkemungkinan besar akan membuat perubahan terhadap undang-undang hak asasi manusia selepas Pilihan Raya Umum kelak.

Pada hemat penulis, sebarang percubaan untuk menentang tindakan sedemikian atas sebab-sebab institusi sudah semestinya akan gagal. Suara hati Britain amat kurang bersimpati terhadap institusi-institusi Eropah. Kenyataan rambang berasaskan sejarah memanglah berbahaya, tetapi tidaklah keterlaluan jika dihujahkan bahawa penglibatan Britain dengan ‘Eropah’ lebih beralasan pragmatisme berbanding dengan idealisme. Majlis Eropah, dan kemudiannya Kesatuan Eropah (EU), adalah beberapa kaedah mencegah peperangan dan mendapatkan laluan memasuki pasaran-pasaran Eropah. Ini tidaklah pula bermaksud mencadangkan bahawa institusi sedemikian tidak layak dipertahankan, tetapi wujud pandangan bahawa desakan supaya warga Britain menyokong Konvensyen Eropah mengenai hak asasi manusia semata-mata demi pertubuhan EU tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar.

Percanggahan hujah-hujah antara pihak Parti Konservatif dan pihak Liberty di atas menunjukkan betapa rapuhnya konsensus mengenai hak asasi manusia di Britain. Pada hakikatnya, hak asasi manusia dalam peradaban barat memang rapuh kerana tidak begitu jelas apa tujuannya. Di Britain kerajaan Parti Buruh yang telah menggubal HRA 1998 juga khususnya bertanggungjawab. Bagi kerajaan Tony Blair, Akta tersebut menjadi cara menghalang Britain dari melanggar Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah, dan bukannya penyelesaian yang baharu segi perlembagaan bagi ‘Kerajaan Buruh Baharu’ dan ‘Britain Baharu’. Akta tersebut adalah suatu strategi institusi dan undang-undang, dan dalam hal hak asasi manusia, sama seperti hal-hal lain berkaitan pentadbiran kerajaan, perdebatan mengenai institusi dan undang-undang kurang diutamakan. Ini tidaklah pula menganggapnya sebagai kurang penting tetapi sebaliknya, mengiktiraf bahawa institusi dan undang-undang memenuhi nilai-nilai politik, dan nilai-nilai itu perlu dinyatakan dahulu.

Penting disedari bahawa debat mengenai nilai-nilai politik di Britain tidak bermula pada tahun 1998, mahupun pada tahun 1945, dan bahawa nilai-nilai politik yang dipertaruhkan tidak sekadar bertujuan menyelamatkan Eropah daripada fahaman fasis. Ini boleh dibandingkan, sebagai contoh, dengan situasi apabila Presiden Obama, dalam ucapan perdananya yang kedua, menyebut bahawa ‘Stonewall senafas dengan Selma dan Seneca Falls’ (pengiktirafan simbolik Presiden Amerika Syarikat mengenai hak minoriti gay dan wanita). Tujuan Obama adalah untuk menarik perhatian terhadap hubungan antara hak kesaksamaan bagi golongan homoseksual di Amerika dengan hak kesaksamaan bagi kaum kulit hitam di Amerika dan kaum wanita di Amerika. Tradisi perlembagaan Amerika Syarikat, meskipun wujud banyak kepincangan, boleh memahami perdebatan semasa mengenai nilai-nilai politik berasaskan sejarah negaranya.

Di Britain, wujud pandangan mereka yang pro- hak asasi manusia bahawa para pembela perlindungan undang-undang hak asasi manusia perlu mengaitkan hujah-hujah mereka dengan tradisi perlembagaan dan memastikan kesan balasnya terhadap masyarakat negara tersebut. Pilihan Raya Umum Britain pada tahun hadapan akan diadakan sebulan sebelum ulang tahun ke-800 perjanjian Magna Carta, iaitu apabila Raja John dipaksa menandatangani suatu pakatan di Runnymede untuk membendung kuasanya. Bagi penganalisis, debat mengenai hak asasi manusia boleh dimenangi dengan menghubungkan golongan Baron (bangsawan) di Runnymede, dengan kumpulan Suffragette (pejuang hak mengundi wanita) di Penjara Holloway, dengan setiap rakyat Britain hari ini, yang mungkin bergantung pada pertikaian kuasa pemerintah negara untuk menjamin kebebasan mereka. Menurut perspektif beberapa penganalisis, hak asasi manusia di Britain yang rapuh ini memerlukan sesuatu yang melebihi institusi dan undang-undang. Pada mereka, pembentukan nilai-nilai tersendiri hak asasi manusia Britain perlu disuarakan dengan tegas.

Apakah iktibar perkembangan ini buat Malaysia? Sebahagian masyarakat Britain menunjukkan kehendak untuk memelihara kedaulatan sesebuah negara diberikan keutamaan lebih tinggi dari kehendak pencapaian hak asasi manusia mutlak semata-mata. Kewujudan undang-undang mengenai hak asasi manusia belum tentu dapat menjamin perlindungan hak asasi manusia yang sebenar, sekiranya tidak didasarkan pada latarbelakang keagamaan, sejarah, budaya dan nilai-nilai sesebuah negara. Di Malaysia khususnya, perbahasan serta penerimaan nilai-nilai hak asasi manusia harus dibentuk menurut acuan Islam dan sejarah kebudayaan bangsa Melayu yang menjadi teras pembentukan Perlembagaan Persekutuan, di samping mengambil dengan serius hakikat kewujudan kepelbagaian kaum yang menghormati kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Keutuhan nilai-nilai ini dizahirkan sebagai contoh melalui Fasal-fasal 3(1) (kedudukan istimewa Islam), 153 (berkaitan perizaban kuota berkenaan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang melayu dan anak-anak negeri-negeri Sabah dan Sarawak), Bahagian Ketiga (Kewarganegaraan), 181 dan 37(1) Jadual Keempat (kedaulatan Raja-raja Melayu dan sumpah YDPA untuk memelihara kesucian Islam pada setiap masa) yang menjadi asas keharmonian Malaysia. Fasal-fasal 5 hingga 13, mengenai kebebasan asasi pula perlu menurut acuan keMalaysiaan sepertimana yang sebenarnya terzahir di dalam semangat Perisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993 dan melalui Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), yakni berkaitan usaha melaksanakan hak asasi manusia selagi mana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kesemua di atas merupakan penzahiran nilai-nilai sejarah, agama dan budaya Malaysia semenjak sekian lama. Ini sekaligus menjadi asas jati diri memacu pembentukan nilai-nilai hak asasi manusia di peringkat serantau yang berbeza dari pengalaman dan pendekatan Barat.

Oleh yang demikian, perkembangan yang melanda negara kita berhubung isu hak asasi manusia ini perlulah ditangani menurut acuan dan nilai-nilai kita sendiri. Ini termasuklah sebagai contoh desakan golongan pendokong hak asasi manusia yang mahukan Akta Hasutan 1948 dihapuskan terus, tanpa memberi ruang secukupnya kepada kerajaan pusat untuk membuat penelitian secara komprehensif dan teliti untuk menerokai kemungkinan membuat penambahbaikan terhadap akta tersebut demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Malah, kenyataan pada 9 Oktober oleh Abid Hussain, jurulapor khas PBB mengenai kebebasan berekspresi juga dilihat kurang cermat kerana hanya mendapat pandangan berat sebelah tentang pendakwaan-pendakwaan yang berlaku di bawah akta tersebut. Yang lebih terserlah dan dibimbangi ialah sifat anarkis beberapa pejuang hak asasi manusia yang terlalu menjunjung asas prinsip hak asasi manusia Barat. Ini tidak semestinya mampu menawarkan penyelesaian yang baik untuk diikuti Malaysia yang berhadapan dengan cabaran menghalang kebebasan berekspresi yang tidak bertanggungjawab mengeruhkan hubungan antara kaum dan penganut pelbagai agama.

Hanya dengan nilai-nilai yang kukuh berdasarkan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan realiti sosio-politik, Malaysia akan dapat menjauhkan diri dari risiko dan dilema yang dihadapi Britain, yang setelah semenjak sekian lama menerima pakai Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah, akhir-akhir ini mula menolak peranan Konvensyen tersebut dalam menentukan nilai-nilai dan kedaulatan negara, dan sebaliknya beriltizam membentuk jati diri dan acuan sendiri hak asasi manusia negara tersebut.

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan pengarah eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda