Rasionalisasi Subsidi Petrol Dan Diesel

Kenaikan harga petrol dan diesel pada 2 Oktober yang lepas pastinya mengejutkan tatkala harga minyak global sedang turun. Langkah ini mengundang pelbagai reaksi di kalangan masyarakat. Tidak kurang juga ahli politik yang cuba meraih populariti dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bersifat populis dan mengelirukan masyarakat. Isu berkaitan industri minyak kerap digunakan dalam meraih sokongan dan populariti tanpa mendidik masyarakat tentang keadaan yang sebenar. Sesetengah kenyataan yang bersifat tidak professional dari pihak kerajaan juga tidak membantu dalam menjernihkan suasana. Justeru, pelbagai persepsi yang kurang tepat terus berlegar di kalangan masyarakat.

Malaysia vs. Negara Lain

Apabila kenaikan harga runcit petrol dan diesel berlaku akibat dari kenaikan harga minyak global, timbul perbandingan di antara Malaysia dan negara pengeluar minyak dari Timur Tengah yang mempunyai harga runcit petrol dan diesel yang rendah. Situasi ini timbul apabila kefahaman Malaysia sebagai pengeluar minyak tidak diimbangi dengan kefahaman Malaysia juga merupakan negara pengguna minyak. Kerap kali analisis dan kenyataan yang dibuat tanpa menyatakan situasi keseluruhan dan seterusnya menimbulkan kekeliruan.

 

Screenshot 2014-10-10 11.11.38

Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai simpanan minyak keempat terbesar di Asia Pasifik. Pada tahun 2012, kadar pengeluaran minyak[1] Malaysia berada sekitar 696,000 tong sehari. Sejak mencapai pengeluaran puncak pada tahun 2003 iaitu sekitar 844,000 tong sehari, kadar pengeluaran minyak Malaysia terus menunjukkan penurunan manakala kadar penggunaan minyak pula semakin meningkat. Ini mengakibatkan kadar pengeluaran bersih minyak Malaysia semakin menurun dan jika berterusan, Malaysia bakal menjadi negara pengimport bersih minyak dalam masa terdekat. Pengurangan kadar pengeluaran bersih minyak Malaysia dapat dilihat pada jumlah eksport minyak mentah yang semakin menurun. Menurut Global Trade Atlas, eksport minyak mentah Malaysia pada tahun 2013 adalah sebanyak 240,000 tong sehari berbanding sebanyak 400,000 tong sehari pada tahun 2000.

Situasi yang berlaku di Malaysia adalah berbeza dengan situasi yang berlaku di Timur Tengah dan sebarang bentuk perbandingan di antara negara-negara ini umpama membandingkan di antara epal dan oren. Jumlah pengeluaran bersih minyak negara-negara Timur Tengah jauh mengatasi Malaysia. Sebarang peningkatan pada harga minyak global memberi pendapatan yang signifikan kerana jumlah pengeluaran bersih negara tersebut yang jauh lebih tinggi.

Screenshot 2014-10-10 11.11.59

Hal yang sama turut berlaku apabila terdapat kenyataan dari pihak kerajaan yang membandingkan harga runcit petrol dan diesel Malaysia dengan negara jiran apabila harga barangan tersebut dinaikkan. Jika dilihat dari aspek pengeluaran dan penggunaan minyak, sememangnya negara serantau kecuali Brunei merupakan pengimport minyak bersih. Selain daripada itu terdapat juga polisi-polisi yang mengenakan cukai terhadap bahan api di sesetengah negara tersebut. Maka tidak hairanlah harga minyak di negara tersebut lebih tinggi.

Secara umumnya, kadar harga jualan runcit petrol dan diesel mempunyai hubungan yang berlawanan dengan kadar pengeluaran bersih minyak sesebuah negara. Namun tidak semua negara yang mempunyai pengeluaran bersih yang signifikan mempunyai harga jualan runcit petrol yang murah. Sebagai contoh, Norway merupakan antara negara yang mempunyai harga jualan runcit petrol yang tertinggi di dunia. Manakala Indonesia pada 2012, mempunyai harga jualan runcit petrol dan diesel yang murah jika dibandingkan dengan kedudukannya sebagai negara pengimport bersih. Walaubagaiamanapun sejak tahun 2013, harga jualan runcit minyak petrol di Indonesia telah meningkat kepada sekitar USD0.99/liter selaras dengan pengurangan subsidi oleh kerajaan Indonesia.

Screenshot 2014-10-10 11.12.10

Berdasarkan contoh-contoh di atas, adalah penting bagi pihak-pihak yang terlibat untuk membuat perbandingan secara objektif dan melihat situasi keseluruhan apabila mengeluarkan kenyataan. Perbandingan yang tidak menyeluruh bakal menyebabkan salah faham tentang suatu perkara dan akhirnya menyebabkan fahaman yang kurang tepat tersebar sebagai pengetahuan umum.

Screenshot 2014-10-10 11.12.19

Hutang Negara Yang Meningkat Dan Rasionalisasi Subsidi

Rajah di bawah menunjukkan jumlah hutang yang meningkat ini berlaku selepas berlakunya krisis ekonomi dunia pada tahun 2008.[2] Bagi mengelak penguncupan ekonomi, kerajaan Malaysia telah meluluskan beberapa pakej stimulus bagi menangkis impak penguncupan ekonomi dunia.[3] Setelah menunjukkan penguncupan untuk 9 bulan (suku ketiga 2008 – suku pertama 2009)[4], ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5% secara purata.

Malaysia mengenakan had terhadap hutang kerajaan – 55% dari jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK). Walaupun had ini boleh diubah dengan persetujuan di parlimen tetapi langkah untuk mengenakan had ini merupakan satu langkah yang praktikal bagi memastikan negara tidak terbeban dengan hutang yang tinggi. Ditambah pula dengan tekanan dari agensi-agensi yang menilai ‘rating’ kredit seperti S&P, Moody’s dan Fitch yang menyatakan Malaysia harus mengurangkan jumlah hutang kerajaan untuk mengelak dari diturunkan ‘rating’ kredit. Kesan dari penurunan ‘rating’ ini secara umumnya bakal meningkatkan kos pinjaman untuk kerajaan.

Antara perkara yang menjadi kritikan dan sasaran agensi-agensi tersebut adalah kelemahan penjanaan pendapatan oleh kerajaan dan perbelanjaan bagi subsidi.[5] Bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang dinyatakan, kerajaan telah dan akan melaksanakan beberapa polisi seperti pengenalan GST serta rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi bahan api dan gas.

Menurut IMF, subsidi bahan api dan gas dipercayai tidak efektif kerana golongan yang dikatakan banyak mendapat manfaat dari subsidi ini dikatakan dari golongan yang mempunyai pendapatan tinggi.[6] Kebiasaannya, mereka yang berpendapatan tinggi menggunakan kenderaan besar dan menggunakan minyak yang lebih banyak. Oleh yang demikian, subsidi ini tidak mencapai maksud sebenarnya iaitu membantu mereka yang memerlukan.

Selain daripada itu, subsidi bahan api juga menyebabkan penyeludupan berlaku seterusnya mengakibatkan kerugian kepada kerajaan. Dianggarkan, sebanyak RM1.2 billion terpaksa ditanggung kesan dari kegiatan penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi sepanjang tempoh 5 tahun ini.[7]

Trend penurunan harga minyak yang berlaku sekarang telah memberi peluang kepada kerajaan untuk meminimumkan subsidi bahan api secara maksimum. Jika trend ini berterusan, kemungkinan besar sasaran untuk memansuhkan subsidi bahan api bakal menjadi kenyataan.

Apa yang menarik perhatian adalah sejauh manakah rasionalisasi subsidi ini dapat mengurangkan nisbah hutang negara berbanding KDNK kerana impak rasionalisasi ini dijangka bakal memberikan tekanan kepada kenaikan harga barang dan akan mempengaruhi perbelanjaan serta simpanan orang ramai.

Isu Ketirisan, Penyediaan Prasarana Dan Bantuan Golongan Yang Terkesan

Terdapat pelbagai reaksi yang timbul hasil dari pengurangan subsidi bahan api petrol dan diesel oleh kerajaan. Antara perkara yang ditimbulkan adalah isu ketirisan dan juga perbelanjaan pengurusan kerajaan. Reputasi buruk yang terpalit tentang ketirisan tidak mungkin akan hilang selagi terdapat isu di dalam laporan audit negara. Adalah penting bagi kerajaan untuk menunjukkan contoh dan teladan yang baik bagi mengelakkan pembaziran dana awam dan seterusnya membantu dalam pengurusan kewangan negara yang efektif. Selaras dengan titah ucapan Sultan Perak pada 1 Oktober yang lalu, perkara-perkara yang melibatkan rasuah dan korupsi juga perlu diambil serius dan dibanteras tanpa diskriminasi.

Penyediaan prasarana yang baik juga penting dalam melaksanakan langkah penghapusan subsidi. Bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar, sistem pengangkutan awam yang efektif amat diharapkan bagi mengurangkan perbelanjaan terhadap bahan api. Kewujudan sistem pengangkutan awam yang efektif dapat mengurangkan kebergantungan penggunaan kereta sendiri sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas, perbelanjaan bahan api, dan secara tidak langsung mengurangkan pencemaran udara dan sisa karbon.

Sistem bantuan yang efektif juga perlu diberikan kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana golongan ini dijangka paling terkesan akibat dari pengurangan subsidi; kesan dari kenaikan harga akibat dari kenaikan kos bagi lojistik dan pengendalian. Selain daripada itu, mereka yang berpendapatan pertengahan juga sepatutnya dibantu terutamanya bagi mereka yang berada di peringkat permulaan mereka yang berpendapatan pertengahan. Hal ini kerana golongan ini paling terkesan kerana tidak menepati ‘threshold’ pendapatan rendah tetapi mereka tidak mendapat bantuan meskipun pendapatan mereka tidak cukup tinggi.

 

[1] Pengeluaran minyak termasuk ‘condensate’, gas cecair, dan lebihan atau pengurangan dari pemprosesan penapisan minyak.

[2] http://www.tradingeconomics.com/malaysia/government-debt-to-gdp

[3] http://www.ihs.com/products/global-insight/industry-economic-report.aspx?id=106595768

[4]http://www.statistics.gov.my/portal/download_Akaun/files/quartely_national/2013/SUKU_KETIGA/KDNK_Q32013.pdf

[5] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/unconvinced-ratings-agencies-hold-malaysias-outlook

[6] http://www.imf.org/external/np/pp/eng/2013/012813.pdf

[7] http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_17/Margin-harga-punca-penyeludupan-diesel

Oleh:

Arus Baru Economic research & studies team

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda