“Malam itu di Balai Budaya
Seorang Peguam muda berkata
Bakar Perlembagaan 152”
(Sasterawan Negara Usman Awang)

1. Kalau mengikut Akta Hasutan 1948, barangkali ‘ajakan’ atau ‘saranan’ Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang dalam sajaknya yang dipetik di atas boleh dikatakan sebagai bernada atau berunsur hasutan. Hal ini kerana, apabila seseorang itu membuat ajakan untuk membenci sesuatu hal yang telah termaktub inter alia dalam Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, ia telah pun memenuhi elemen utama jenayah menghasut, begitulah kira-kira kalau mengikut definisi seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948.

2. Tetapi Usman Awang tidaklah ditangkap (atau dibicarakan) kerana sajak tersebut. Apa pun, hal ini tidak penting. Kerana apa yang lebih utama untuk digali – dan oleh itu perlu diberi perhatian – ialah mengapa sasterawan negara kita yang ketiga sampai demikian tega menyarankan agar Fasal 152 – yang merupakan sebuah peruntukan khusus berhubung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan – untuk dibakar? Sedangkan sebagai penyair ulung yang menulis dalam bahasa kebangsaan, bahasa tersebut adalah senjata sehari-harinya.

3. Perkara ini sebenarnya, seperti yang sedia dimaklumi umum, berkait secara langsung dengan hakikat bahawa apa yang termaktub dalam perlembagaan tinggal hanya sebagai paparan di atas kertas semata-mata, tetapi tidak dihormati, apa lagi dituruti dengan ketaatan penuh setia. Hari ini, setelah lebih 40 tahun sajak tersebut ditulis oleh Usman Awang, keadaan masih tak banyak berubah. Fasal 152 yang memahkotakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masih tetap segak di singgahsananya, tetapi pada masa sama, bahasa yang dimahkotakan tesebut terus-menerus dipijak dan diinjak tanpa sekelumit pun rasa hormat. Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) adalah salah satu daripada sekian banyak contoh bagaimana bahasa yang dimahkotakan itu dihinakan. Cadangan untuk mewujudkan sistem pendidikan dwi-bahasa Melayu/Inggeris juga adalah misalan lain bagaimana bahasa kebangsaan diremehkan haknya di bumi sendiri.

4. Setelah kerajaan memutuskan untuk memansuhkan dasar menghina tersebut, ternyata masih wujud puak-puak yang cuba mempengaruhi kerajaan agar ‘mempertimbangkan semula’ keputusan tersebut. Puak-puak ini mati-matian mempertahankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Pelbagai alasan diberikan, bermacam hujah diutarakan, dan beraneka sebab diperikan, antara lain, tentang perkembangan teknologi dan sains yang saban hari bergerak semakin pantas sehingga kononnya memerlukan mempelajarinya dalam bahasa ‘asal’. Mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu, begitulah kira-kira hujah mereka, akan hanya merenyahkan proses pengajaran dan pembelajaran, kerana istilah-istilah sains dan teknologi terkini kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa Melayu.

5. Apa pun hujah yang diutarakan dan apa pun alasan yang menyokongnya, hakikatnya sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan, kita harus kembali kepada peruntukan perundangan dan bertanya: apakah dasar PPSMI, yang telah sekian lama dijalankan itu, sah di sisi undang-undang; dan apakah alternatif yang dicadangkan oleh sesetengah pihak lain, yakni sistem pendidikan dwi-bahasa, jika dijalankan, sebenarnya dibolehkan menurut Perlembagaan Persekutuan? Ini penting, kerana sebarang dasar – betapapun bermatlamat baik dan betapapun berkesan implimentasinya – sekiranya tidak selari dengan peruntukan perlembagaan, tidak boleh diteruskan. Begitulah sekiranya kita menghormati “keluruhan perlembagaan”, seperti yang termaktub dengan jelas sebagai ikrar ketiga rukun negara.

6. Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Tetapi pada masa sama Fasal 152 turut memperuntukkan proviso, bahawa bahasa-bahasa selain Melayu boleh digunakan (untuk tujuan yang tidak rasmi) serta boleh diajar dan dipelajari dengan bebas. Penyokong PPSMI dan pencadang sistem dwi-bahasa, menggunakan proviso ini bagi ‘menghalalkan’ pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Soalnya, adakah begitu yang sebenarnya dimaksudkan dalam proviso tersebut? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu meneliti interpretasi yang telah diputuskan oleh mahkamah berhubung maksud sebenar Fasal 152. Hal ini penting, kerana sesuatu peruntukan perundangan itu tidaklah boleh ditafsirkan sesuka hati, sebaliknya perlu dibaca dan difahami menurut interpretasi yang telah ditafsirkan oleh mahkamah yang berautoriti.

7. Terdapat dua kes penting yang telah membincangkan kedudukan bahasa Melayu dan interpretasi Fasal 152 secara panjang lebar. Yang pertama, kes Universiti Merdeka lawan Kerajaan Malaysia, dan yang kedua, kes Pendakwa Raya lawan Mark Koding. Kedua-dua kes ini menegaskan bahawa hak untuk menggunakan bahasa asing untuk tujuan tidak rasmi serta mengajar dan mempelajari bahasa asing yang diperuntukkan dalam proviso Fasal 152 itu, harus dibezakan daripada hak untuk mengajarkan subjek-subjek di sekolah-sekolah dalam bahasa asing. Dengan kata lain, Mahkamah Persekutuan menggariskan perbezaan antara hak untuk mengajar dan belajar bahasa asing di satu sisi; dengan hak untuk menjadikan bahasa asing sebagai medium pengantara di sekolah di satu sisi yang lain pula.

8. Lihat sebagai misalan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Mark Koding: “In my view, under proviso (a), although the National Language shall be the Malay language, the usage of any other language other than for official purposes, is guaranteed; so is the teaching or learning of any other language in schools … But there is nothing … to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is … English.” Kemudian mahkamah meneruskan lagi seperti berikut: “It is absurd for instance to think that the proviso gives constitutional protection to teaching or learning in schools where the medium of instruction is Russian or Japanese. To my mind, the protection only extends to language but not to medium of instruction in schools … such protection does not extend to the teaching or learning in a school where the teaching or learning is in any other language.”

9. Di dalam kes Universiti Merdeka pula, yang mana telah diputuskan lebih awal daripada kes Mark Koding – dan yang mana keputusannya itulah yang sebenarnya dipetik dan diikut di dalam kes Mark Koding di atas – Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa menubuhkan sebuah institusi pendidikan yang menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan adalah bercanggah daripada Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun institusi pendidikan adalah termasuk dalam kategori “kegunaan rasmi”. Justeru mengajar atau belajar menggunakan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan adalah merupakan suatu pelanggaran terhadap Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, kerana bahasa asing telah digunakan untuk tujuan rasmi.

10. Di dalam kes Universiti Merdeka tersebut, sejarah dan asal-usul Fasal 152 telah dibincangkan secara kritis oleh mahkamah bagi menyingkap tujuan dan makna sebenar peruntukan tersebut. Ketika Suruhanjaya Reid dilantik untuk merangka Perlembagaan Persekutuan, suruhanjaya diraja tersebut telah mencadangkan agar dimasukkan satu peruntukan yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam banyak hal, suruhanjaya tersebut sebenarnya hanya mengikut dan ‘meniru’ hampir bulat-bulat Perlembagaan India yang telah mencapai kemerdekaan lebih awal (kerana dalam banyak hal, keadaan di India dengan di Malaysia (ketika itu Malaya) hampir serupa. Pun begitu, Fasal 152 telah dengan sengaja dirangka berbeza daripada peruntukan dalam Perlembagaan India. Frasa yang digunakan dalam perlembagaan India berhubung kedudukan bahasanya adalah “bahasa rasmi” sedangkan dalam Perlembagaan Persekutuan, frasa yang digunakan adalah “bahasa kebangsaan’. Menurut Mahkamah Perskutuan, penggunaan frasa yang sengaja dibezakan daripada perlembagaan India tersebut (sedangkan di bahagian lain kebanyakannya ‘ditiru hampir bulat-bulat’), tentunya mempunyai niat dan tujuan yang khusus. Oleh itu, mahkamah menyatakan bahawa perbezaan frasa tersebut adalah sebagai menekankan peri pentingnya kedudukan bahasa Melayu – bahawa bahasa Melayu bukan sekadar ‘bahasa rasmi’, sebaliknya bahasa Melayu adalah ‘bahasa kebangsaan’.

11. Seterusnya, di dalam kes Universiti Merdeka tersebut juga, Mahkamah Persekutuan turut membincangkan tentang pelbagai aliran persekolahan yang berbeza. Tentang perpecahan yang wujud ketika sebelum merdeka kerana anak-anak Melayu pergi ke sekolah Melayu, anak-anak India pergi ke sekolah Tamil dan anak-anak Cina pergi ke sekolah Cina. Satu-satunya faktor pemersatu ketika itu adalah sekolah Inggeris, kerana anak-anak dari pelbagai bangsa bercampur dan belajar mengikut satu sukatan yang sama. Anak-anak dari aliran inilah yang kemudiannya telah keluar dan menjadi pemimpin serta kemudiannya membangunkan negara dari sudut ekonomi mahupun politik. Justeru, begitulah kira-kira rumusan yang dibuat oleh Mahkamah Perskutuan, seperti mana keadaannya bahasa Inggeris telah menjadi bahasa pemersatu sekolompok kecil yang begitu berpengaruh ketika zaman sebelum merdeka, maka memandangkan kini kita telah merdeka, bahasa Melayu pulalah yang mesti dan wajib digunakan sebagai bahasa yang mempersatu seluruh negara.

12. Memetik kata-kata Mahkamah Persekutuan sendiri: “We think it reasonable to suppose that the framers of our Constitution who came from this group of Malayans – later Malaysians – concluded that just as before independence the English language could unify the small but highly influential group of leaders, so after independence, the use of bahasa could and should be used as an instrument for unifying the whole nation.” (penekanan ditambah).

13. Justeru adalah jelas daripada peruntukan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca berdasarkan interpretasi yang telah diputuskan dalam kes Universiti Merdeka dan Mark Koding, bahawa PPSMI adalah sebuah dasar yang sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan cadangan agar diwujudkan sistem dwi-bahasa yang memberikan pilihan kepada ibu-bapa sama ada ingin menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah berbahasa Melayu atau sekolah berbahasa Inggeris. Apa-apa sahaja dasar atau polisi bahkan undang-undang yang tidak selari dengan peruntukan perlembagaan, adalah dengan sendirinya menjadi tidak sah. Maka apabila sesuatu hal itu tidak sah, sekiranya ia telah berjalan, hendaklah dimansuhkan serta-merta, dan sekiranya belum berjalan, hendaklah dihalang sekeras-kerasnya.

14. Lantas kita pun kembali bertanya sekali lagi: apakah Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang, ketika ‘menyarankan’ agar Perlembagaan 152 dibakar, boleh dikatakan telah melakukan jenayah menghasut? Jawapannya tentu sekali tidak, kerana maksud dan tujuan beliau membuat ‘saranan’ tersebut adalah bagi memberikan peringatan agar peruntukan tersebut jangan sekadar dimahkotakan di atas kertas, sebaliknya hendaklah diturut dan dipatuhi dengan ketaatan penuh setia. Sedangkan, di sisi yang lain pula, kelompok yang berdegil menyarankan agar PPSMI diteruskan – atau mencadangkan agar diwujudkan sistem pendidikan dwi-bahasa – mereka inilah yang sebenarnya melakukan jenayah hasutan. Kerana apa yang mereka sarankan nyata sekali bercanggah dengan peruntukan Fasal 152.

15. Seperti yang telah dinyatakan, menurut seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948, sesiapa sahaja yang mempersoalkan atau mencabar peruntukan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan, maka dia telah melakukan jenayah menghasut dan boleh dituduh, dibicarakan serta dihukum atas jenayah tersebut.

*Foto kepunyaan Firdaus Ariff

Oleh:

Aidil Khalid
Pengamal Undang-undang

TENTANG PENULIS

< Entri Terdahulu
Entri Seterusnya >
Hijab bukan urusan negara?

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda