Demokrasi

Krisis-krisis besar yang lahir daripada tamadun manusia moden masakini, antara lain ialah:

a) Krisis sistem ekonomi kapitalisme yang meluaskan jurang ketidakadilan dan jurang antara golongan kaya dan golongan miskin

b) Krisis sistem politik dunia yang, atas nama demokrasi liberal dan hak-hak asasi manusia, mengekalkan ketidakadilan, kezaliman dan penindasan negara-negara yang kuat ke atas negara-negara, masyarakat-masyarakat dan minoriti-minoriti yang lemah, termasuk umat Islam Palestin, Kashmir, Xinkiang, Moro, Chechen, Patani, dan lain-lain

c) Krisis budaya dan moral yang dijiwai oleh fahaman sekular Barat, modernisme, liberalisme, pluralisme, hedonisme dan pasca modernisme

Umat Melayu Islam di Asia Tenggara tentunya tidak terlepas daripada cengkaman krisis-krisis besar itu, dan implikasi ke atas sistem pendidikan yang mampu mendepani krisis-krisis besar itu amat serius. Di samping krisis-krisis dalam era globalisasi atau era dominasi sistem kapitalisme dan liberalisme ini, terdapat juga cabaran merebaknya geraka Kristianisasi, aliran liberalisme atau neo-modernisme di kalangan cendekiawan Melayu Islam di satu pihak, dan ekstremisme kelompok-kelompok Muslim radikal di pihak yang lain.

Pada masa yang sama, aliran budaya hedonistik, konsumeristik, individualistik serta ketagihan dadah atau narkotika dan ketagihan budaya maya di alam siber di kalangan remaja, pengingkatan jenayah seks, gejala pembuangan anak dan lain-lain gejala sosial yang mengerikan ternyata semakin meluas.

Ringkasanya umat manusia dan umat Islam sedang berada dalam satu era pancaroba yang disebut Alan Greenspan sebagai “The Age of Turbulence” (Greenspan, 2008), suatu zaman dalam mana kecemerlangan sains moden dan sekular telah mencapai kemuncak kegemilangannya dari segi ciptaan-ciptaan dan penemuan-penemuan saintifik yang menakjubkan (dan yang amat bermanfaat), tetapi kekufuran, keegoan dan keangkuhan akal (reason) bebasnya telah mencipta pelbagai jenis malapetaka ekonomi, politik, budaya, intelektual dan moral kerana membelakangi petunjuk Allah swt, bimbingan para Rasul, hukum-hukum Allah swt dan ajaran-ajaran agama Allah swt. Tamadun timpang dan cacat ini didirikan atas sistem pendidikan moden sekular Barat, yang kemudian diterapkan di negara-negara orang Islam termasuk dunia Melayu Islam.

Solusi

Tetapi semua cabaran di atas, dari krisis ekonomi dan kemiskinan, politik, budaya dan moral sampai ke budaya korupsi, kolusi, nepotisme, dan tirani merupakan dugaan dan cubaan (ibtilaa’) dari Allah swt bagi menguji kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan amal dan kekuatan rohani para Mukmin sejati yang menjadikan cinta kepada Allah swt (jihaad fii sabiili’Llaah) sebagai nilai tertinggi dalam kehidupan di dunia. Malah cabaran-cabaran itu boleh dilihat sebagai peluang-peluang keemasan pejuang-pejuang pendidikan untuk mewujudkan suatu sistem pendidikan bagi umat Melayu Islam yang;

a) membawa rahmat ke seluruh manusia

b) membawa penawar bagi umat yang sedang sakit

c) membawa penyelesaian bagi umat yang berpecah

d) mengeluarkan umat dari kubang-kubang korupsi dan kemiskinan, dari jerat kegilaan harta dan kuasa, dan dari tipu muslihat hubb al-dunyaa dan tipu daya tamadun sekular dengan segala jenis deception (al-ghurur) yang memperdayakan golongan pemimpin dan golongan yang berpendidikan tinggi selama ini. Inilah ransangan untuk pemimpin umat Melayu Islam bangkit dari kealpaan dan kelekaannya, mengambil semula obor kepimpinan sejagat yang pernah dibawa tamadun Islam zaman silam.

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda