yusri_nonmuslim

Saya seorang Melayu. Saya juga seorang Muslim. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga Melayu, dan dibesarkan dengan adat-adat resam dan budaya Melayu.

Ketika kecil, saya dihantar ke sebuah Sekolah Kebangsaan, di mana kebanyakan rakan-rakan saya terdiri daripada orang Melayu dan terdapat hanya beberapa orang pelajar bukan Melayu. Selepas UPSR, saya melanjutkan pelajaran ke ke sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan. Di sini, saya berkenalan dengan dua orang sahabat karib saya, seorang berbangsa Cina dan seorang berbangsa India yang bernama Khai Yoong dan Kugeshan. Kami bertiga terkenal dengan sifat nakal kami di dalam kelas. Kadang-kadang, kami akan ponteng kelas bersama-sama, dan kadangkala kami bermain mercun ketika ketiadaan guru di dalam kelas. Pada suatu hari, kami ditangkap oleh guru disiplin sekolah kerana ponteng kelas. Peristiwa itu masih segar dalam benak minda saya. Kami bertiga dipanggil ke bilik disiplin bersama-sama seorang lagi rakan kami. Ketika itu, terdapat dua orang Melayu, seorang India, dan seorang Cina. Kami berdiri tegak di hadapan guru disiplin kami sementara dia berleter kepada kami. Ketika itu saya terfikir tentang indahnya persahabatan yang merentas perbezaan kaum antara kami.

Selepas PMR, saya telah diterima masuk ke sebuah sekolah Melayu. Kami bertiga telah terpisah tetapi kami terus mengekalkan hubungan. Saya menghabiskan masa selama dua tahun bersama lebih kurang 700 pelajar Melayu yang lain. Di sana, saya berkenalan dengan orang Melayu daripada beraneka budaya dan latar belakang. Walau apa pun latar belakang kami, setiap daripada kami diikat atas dasar akidah yang kukuh. Di sekolah yang sama, saya mula melibatkan diri dalam perdebatan Bahasa Inggeris ala parlimen. Kami dilatih siang dan malam oleh guru Cina kami, Miss Mei Yoke, dan kami telah menyertai banyak pertandingan di bawah seliaan beliau. Bimbingan beliau jugalah yang mendorong saya dan rakan seperjuangan saya untuk berjaya diiktiraf sebagai salah satu daripada 20 pendebat terbaik kebangsaan semasa Kejohanan Debat Antara-sekolah anjuran Universiti Islam Antarabangsa. Pada pertandingan yang sama juga, saya berkenalan dengan Terence, seorang pelajar berbangsa India yang lain daripada yang lain. Saya kagum dengan kebolehan beliau berbahasa Melayu dengan cukup fasih. Saya berani untuk katakan, beliau lebih fasih daripada sebilangan orang Melayu yang saya kenali.

Sungguh mendukacitakan, pada tahun yang sama, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok menggemparkan Malaysia dengan tuntutan provokatif beliau yang menganggap penggunaan tulisan Jawi pada tanda-tanda jalan adalah tidak relevan. Tidak lain dan tidak bukan, tindakan beliau merupakan satu tindakan yang cukup tidak menghormati kedudukan Melayu dan Islam serta kepelbagaian budaya dan kaum di Malaysia.

Pada tahun 2010, saya telah diterima masuk ke sebuah kolej persediaan di mana saya bersaing dengan orang Melayu dan bukan Melayu. Kebanyakan rakan-rakan bukan Melayu saya adalah terdiri daripada mereka yang berasal daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina). Di sana, saya bertemu dengan John; seorang sahabat yang bercita-cita tinggi. Saya kagum kerana beliau sanggup memaksa dirinya untuk berbahasa Melayu apabila bersama pelajar Melayu untuk mengelakkan rasa tidak selesa. Beliau juga pernah menyebut tentang sokongan beliau terhadap tindakan afirmatif kepada kaum bumiputra yang mana tindakan tersebut menekankan pengagihan yang adil, bukan kesamarataan. Beliau membuat saya sedar bahawa salah faham yang sering wujud antara orang Melayu dan bukan Melayu selama ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh batasan bahasa. Dia seorang yang terbuka dan pada masa yang sama , sangat menghormati budaya orang Melayu. Sebagai balasan, saya juga amat menghormati budaya beliau. Bak kata pepatah Melayu, “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.”

Di pusat pengajian yang sama juga, saya mengambil keputusan untuk menyertai kelab pengucapan awam, Toastmasters International. Ketika menghadiri mesyuarat kelab yang pertama , saya berasa agak janggal kerana dikelilingi oleh majoriti orang Cina dan India. Beberapa bulan kemudian, saya telah dilantik menjadi Presiden kelab tersebut. Saya dan Naib Presiden merupakan satu-satunya orang Melayu dalam jawatankuasa kelab tersebut. Semasa bertugas sebagai Presiden, saya telah berpeluang untuk melibatkan diri dengan program motivasi bersama orang miskin dan anak-anak yatim Kristian yang berbangsa Cina dan India. Kelab kami membulatkan tekad untuk memberi suntikan inspirasi dan motivasi kepada remaja-remaja tersebut serta mengajar mereka kemahiran berpidato di khalayak ramai. Pada akhir program, saya telah memberi ucapan pembakar semangat di hadapan semua remaja Cina dan India tersebut dengan harapan bahawa mereka akan terdorong untuk bekerja keras dan berjaya pada masa hadapan. Saya berharap bahawa di negara Malaysia yang makmur ini, mereka mampu untuk menggarap potensi diri mereka sepenuhnya sebagaimana ahli-ahli perniagaan berbangsa Cina dan India telah berjaya sehingga menjadi antara orang-orang terkaya di Malaysia dan di Asia Tenggara secara umumnya.

Alangkah malangnya kerana pada tahun yang sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah mengeluarkan kenyataan bahawa Hudud adalah satu amalan yang mundur. Satu kenyataan yang saya rasakan adalah sangat tidak sensitif kepada umat Islam yang juga merupakan majoriti rakyat Malaysia. Seruan yang sama telah dilaungkan pada tahun 2014, di mana parti-parti politik Cina dari kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional telah menganggap Hudud sebagai satu tindakan regresif ke zaman gelap seperti yang telah dilaporkan oleh media. Apakah perbezaan di antara kedua-dua insiden ini? Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih terkedepan untuk menyifatkan kenyataan yang dilontar Presiden MCA tentang hudud sebagai satu penghinaan nyata terhadap agama Islam. Dalam pada masa yang sama, beliau berdiam diri apabila ahli pakatan sendiri mengeluarkan kenyataan yang serupa. Apa lagi yang boleh kita harapkan daripada mereka yang mencari keuntungan politik semata-mata?

Tahun 2011 pula, masyarakat Melayu digemparkan lagi oleh kenyataan dari Chong Eng, Ketua Wanita DAP. Beliau mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa orang Melayu adalah ‘pendatang’ dan beliau juga telah memetik buku yang sama yang menakrifkan Melayu sebagai satu bangsa yang wujud hanya untuk tujuan politik. Lebih menyedihkan lagi, kenyataan beliau dianggap oleh kebanyakan pihak sebagai satu amalan kebebasan bersuara dan hak beliau untuk memberi pendapat.

Beberapa tahun selepas itu pula, ahli parti DAP, Tony Pua memperlekeh fatwa Hari Kekasih yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan membuat kenyataan sindiran di Facebook beliau. Saya melihat tindakan beliau tidak lain dan tidak bukan sebagai satu provokasi yang sengaja dikeluarkan tanpa menghormati penganut agama Islam. Sekali lagi, tindakan itu telah diterima dengan mudah oleh kebanyakan pihak

Saya boleh terus mengungkit insiden-insiden provokasi yang lain, tetapi saya harap apa yang telah saya sebutkan adalah cukup untuk memberi satu mesej yang jelas kepada pembaca.

Saya sentiasa menghargai rakan-rakan Cina dan India saya. Saya berterima kasih atas sumbangan Miss Mei Yoke yang telah membawa anak Melayu ini jauh hingga ke bumi orang putih. Rakan-rakan dan guru-guru saya telah membentuk identiti diri saya yang menulis sekarang ini. Saya akan terus berhubungan rapat dengan mereka dan saya berterima kasih ke atas sumbangan atlet negara seperti Lee Chong Wei , Nicol Ann David , Pandalela Rinong , Alex Yoong, M. Magendran dan lain-lain lagi .

Sepanjang hidup saya membesar sebagai seorang Melayu dalam sebuah negara berbilang kaum, saya telah hidup harmoni dengan orang bukan Melayu tanpa sebarang masalah. Kami menghargai perbezaan kami dan menikmati kehadiran masing-masing dengan penuh rasa hormat. Saya kini telah memahami bahawa ketegangan kaum yang wujud di bumi tercinta, Malaysia, bukan berasal daripada kewujudan pelbagai kaum. Sebaliknya, isu utama yang perlu kita semua ambil prihatin ialah isu ketaatan kepada perjanjian-perjanjian yang telah kita persetujui.

Sejarah telah membuktikan bahawa orang Islam dan bukan Islam telah lama hidup aman di bawah naungan pemerintahan Islam selama berkurun lamanya. Islam itu adil, ia melindungi semua yang hidup di bawah panjinya, tetapi ia tidak berkompromi kepada pengkhianat negara. Ia meraikan orang-orang yang setia menegakkan perjanjian. Pada masa yang sama, ia tidak bertolak ansur kepada mereka yang tidak taat kepada perjanjian yang telah termeterai. ISMA berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang sama dan kami konsisten dalam menegakkan nilai-nilai ketaatan dan perpaduan tanpa ada niat untuk mendapatkan sebarang keuntungan harta atau pangkat. Dana kami adalah daripada poket-poket kami. Keahlian kami adalah terbuka kepada bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Bagi kami, ikatan terkuat adalah berasaskan aqidah, bukan darah.

Ketahuilah bahawa seruan untuk kesetiaan ini bukan hanya untuk orang Cina. ISMA juga menolak perbuatan khianat sesiapa yang tidak menghormati kontrak sosial dan identiti negara. Ini termasuklah mereka yang berusaha untuk merendahkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan melalui campur tangan asing sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan ‘civil society’ seperti COMANGO yang dianggotai oleh Sisters in Islam, Seksualiti Merdeka dan sekutu-sekutu mereka .

Mungkin kini adalah masanya untuk DAP mempertimbang semula dasar mereka mengenai ‘penghapusan pembahagian “bumiputera” dan “bukan bumiputera”‘ yang jelas menentang kontrak sosial yang telah dipersetujui. Atau mungkin inilah masanya untuk penyokong DAP atau sekutunya untuk mempertimbang semula kesetiaan mereka terhadap prinsip-prinsip parti, kepada kesetiaan teguh terhadap prinsip-prinsip yang telah dipersetujui di negara kita. Sudah tiba masanya untuk kita semua kembali taat kepada kontrak yang telah dipersetujui oleh nenek-moyang kita untuk mengelakkan sebarang konfrontasi. Sepertimana hukum fizik menyatakan, sesuatu tindakan pasti disusuli dengan tindakbalas yang sama darjahnya.

Mungkin ini juga adalah masanya untuk kita berdiri di atas prinsip yang kukuh dan katakan ‘tidak’ kepada perbuatan khianat DAP serta pihak-pihak yang telah jelas mencabar kontrak sosial serta semangat perlembagaan. Saya berharap agar semua rakyat Malaysia telah faham tentang kepentingan untuk kita patuhi kontrak yang telah dipersetujui oleh nenek-moyang kita dalam usaha untuk mencapai keharmonian kaum yang diidami dan untuk terus hidup bersama di bumi bertuah ini.

Toleransi terbina atas dasar dua hala; kedua-duanya memberi dan menerima atas kadar masing-masing.

Yusri Jamaluddin
MSc Business Analytics ‘15
Rensselaer Polytechnic Institute, New York.

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda