tumblr envelope

Saudara Abu Ameen,

Setelah terbaca berita Ustaz Abdullah megenai “apakah sumbangan kaum bukan Islam kepada negara” yang nampak provakatif, saya cuba mencari tek ucapan penuh Ustaz Abdullah untuk memahami isi kandungannya dan terjumpa pula tulisan saudara berhubung ideologi DAP dan ISMA.

Saya bukan ahli DAP dan orang Islam. Saya menghormati agama Islam dan menerima ia suatu agama yang besar dan dipeluk oleh jutaan manusia. Sesungguhnya Islam itu agama yang cukup sempurna dikaca mata pemelukNya.

Saudara telah menjelaskan betapa mulianya agama Islam yang dapat merangkumi segala aspek kemanusiaan. Saya cukup menghayatinya.

Tetapi dalam konteks negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan agama dan ingin hidup bersama dalam aman dan harmoni di dalam kerangka perbezaan agama dan budaya yang besar ini sangatlah mencabar.

Ini ialah satu hakikat yang perlu diterima. Saya tidak membantah seruan saudara agar lebih ramai bukan Islam dapat memeluk agama Islam di mana secara tidak langsung ia dapat memudahkan pembentukan bangsa ( walaupun tidak semestinya ).

Apakah pilihan kita untuk “menyatukan” perbezaan yang ketara di kalangan rakyat kalau bukannya dengan “Keluhuran Perlembagaan”? Sesungguhnya Perlembagaan itu ciptaan manusia dan tidaklah sesempurna ciptaan Tuhan.

DAP ialah sebuah parti politik dan idealismenya ialah secular dan memisahkan idea theologian dalam menguruskan negara.

Dari dulu lagi, reaksi DAP adalah negatif apabila undang-undang Islam cuba diperkenalkan.

Selagi adanya perbezaan ideologi di antara dua kumpulan ini, pilihan yang terbaik untuk kita ialah ” agree to disagree ” dalam polisi-polisi yang menyentuh soal keagamaan.

Negara kita masih belum lagi bersedia untuk menerima undang-undang yang berlandaskan keagamaan.

Wong Tan Kim

 

Ini adalah jawapan balas Abu Ameen terhadap komen pembaca kepada artikel asal beliau di http://www.ismaweb.net/2014/04/ideologi-dap-dan-seruan-isma-satu-pertembungan/

Saudara Wong Tan Kim yang saya hormati,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberikan pandangan secara ikhlas dan terbuka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sikap hati-hati saudara dan cuba memeriksa terlebih dahulu kebenaran dan konteks yang ISMA dimaksudkan apabila media alternatif melaporkan sesuatu berkenaan pendirian ISMA. Seringkali, ucapan dan kata-kata pimpinan ISMA diambil luar konteks oleh media alternatif tersebut dengan membuat gambaran bahawa ahli-ahli ISMA adalah terdiri daripada mereka yang fanatik, penuh dengan perasaan benci dan taksub kepada seruan perkauman. Sesungguhnya realiti dan kecintaan kami terhadap Rasulullah saw menghalang kami daripada bersikap melampaui batas. Kepada Allah yang Maha Esa kami serahkan urusan tersebut.

Kembali kepada dua pandangan saudara – pertama, seruan dan pemelukan ke arah Islam memudahkan pembentukan “satu bangsa”. Kedua, konteks negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan ingin hidup bersama di dalam harmoni harus diupayakan melalui semangat menghormati keluhuran perlembagaan. Manakala polisi terbaik adalah “agree to disagree” di dalam polisi menyentuh soal keagamaan.

Pertama sekali, seruan ke arah Islam yang dikemukakan ISMA hanyalah lanjutan kepada seruan tauhid yang dibawa Nabi Muhammad saw. Kami beriman akan adanya hari pembalasan selepas kematian kita di atas muka bumi ini. Ia akan memudahkan kepada pembentukan satu ummah yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa. Islam menyatukan bangsa-bangsa yang pelbagai ini ke dalam satu aqidah tanpa melunturkan sama sekali identiti dan budaya bangsa tersebut selagi ia tidak bercanggah dengan aqidah Islam. Kami menyeru dengan penuh keikhlasan sebagaimana kata-kata seluruh pejuang-pejuang Islam sebelum kami: 

“Allah mengutus kami agar kami mengeluarkan orang-orang yang Allah kehendaki daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah. Daripada kesempitan dunia menuju keluasan akhirat. Daripada kezaliman agama-agama (ideologi-ideologi) lain menuju kepada keadilan Islam.”

Namun, kami juga memahami sudah menjadi sunnatullah pasti akan ada manusia yang tidak menerima seruan ini dan ini secara tidak langsung membawa kepada pandangan kedua saudara berkenaan konteks negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang majmuk.

Sebelum kita menghuraikan lebih lanjut berkenaan pandangan ISMA di dalam isu berkenaan, izinkan saya untuk menerangkan secara ringkas pendekatan ISMA. Semoga penerangan ini memberi pencerahan kepada saudara untuk memahami apa yang ISMA idamkan.

Saudara Wong Tan Kim yang saya hormati,

ISMA meletakkan pembentukan peribadi sebagai matlamat asas. Peribadi-peribadi yang diinginkan ISMA adalah peribadi yang berakhlak mulia, mencintai jiran tetangga, beramal soleh, menyantuni orang yang lebih tua, bersopan santun, mencintai keamanan, menjaga kerukunan masyarakat setempat, berdisiplin, menepati masa, menjaga kebersihan dan mencintai keadilan berasaskan aqidah Islam. Namun, kelembutan yang dipamerkan dalam akhlak tersebut tidak boleh disalahertikan sebagai satu peluang untuk mengambil kesempatan terhadap sensitiviti kami dalam isu aqidah dan menjaga maslahah umat Islam terutama di negara majoriti umat Islam. Peribadi dan sikap Nabi Muhammad saw dalam menghadapi pelbagai situasi menjadi panduan kami.

Berasaskan pembentukan peribadi tersebut, ia akan menjadi akar umbi untuk membentuk serta membimbing keluarga dan masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah swt. Di sinilah, ISMA mengutamakan kesepakatan antara umat Islam sebagai dasar untuk membawa masyarakat ke arah keadilan Islam yang diimpikan. Malaysia mampu untuk mengorak langkah dengan lebih kemas dan teratur apabila umat Islam tidak kekal berpecah dalam dikotomi politik yang merugikan yang terjadi sekarang ini.

Saudara sendiri melihat bagaimana pertelingkahan politik sedia ada telah menjerumuskan rakyat dalam pergelutan politik yang semakin meruncing dan membawa Malaysia beberapa langkah ke belakang. Keadaan menjadi semakin buruk, apabila terdapat segelintir pihak yang memomokkan bahawa tidak pernah wujud suasana harmoni antara kaum sebelum ini. Sebelum 2008, rakyat Malaysia telah lama hidup dalam keadaan tenang dan harmoni. Sejarah telah menjadi bukti bagaimana masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sebelum ini telah lama hidup di dalam suasana saling menghormati tanpa mengungkit perkara-perkara yang membangkitkan sensitiviti umat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Seterusnya, apabila umat Islam dan bukan Islam saling menghormati dan mengiktiraf keutamaan kepemimpinan diberikan kepada umat Islam yang berkebolehan, perpaduan nasional di antara umat Islam dan warganegara bukan Islam lebih mudah terjalin. Malaysia mampu mengorak langkah ke hadapan semula.

Namun, ISMA tidak menolak kenyataan bahawa begitu banyak sistem dan corak pentadbiran yang boleh diperbaiki di Malaysia. Ketidaktelusan parti pemerintah dan penggarapan kekayaan negara kepada hanya golongan elit tertentu di kalangan rakyat Malaysia telah memburukkan lagi keadaan. Sikap tidak amanah parti pemerintah ini harus dikecam dan ditegur manakala sistem yang baik yang dilaksanakan dengan amanah harus dipuji. Islam memastikan bahawa keadilan ditegakkan sekalipun terhadap golongan atau bangsanya tersendiri. 

Saudara Wong Tan Kim yang saya hormati,

Islam juga adalah alternatif kepada segala bentuk ideologi politik yang sedia ada. Undang-undang dan keadilan di dalam Islam mengatasi batasan agama, politik kepartian dan perkauman kerana asas keadilan adalah ketakwaan kepada Allah semata-mata. Mengapa harus kita menolak sistem tersebut sedangkan ia adalah sistem yang lebih baik malah akan memperbaiki keadaan yang sedia ada? Mengapa harus kita menolak sistem yang lebih baik dan menyeluruh dalam memberi penyelesaian kepada segala kemelut negara dan hanya pasrah dengan sistem yang akan membuatkan rakyat Malaysia terus hidup dalam konflik politik yang berpanjangan?

Inilah yang ISMA serukan. Islam bukan hanya agama. Islam adalah satu cara hidup. Islam is a way of life. Kembali kepada Islam inilah arus baharu yang dikemukakan ISMA. ISMA yakin Islam memberikan pendekatan yang lebih menyeluruh yang mampu memberikan penyelesaian kepada segala kemelut sosio ekonomi dan politik di Malaysia sekarang yang seringkali menemui jalan buntu di setiap ruang yang kita telah lalui.

Semoga Malaysia hari esok lebih baik dari Malaysia pada hari ini. Islam Berdaulat, Malaysia Sejahtera.

Kepada Allah kami berserah.

Abu Ameen

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda