Skudai, 14 Dis – Tuntutan gabungan NGO liberal (Comango) adalah kesinambungan daripada tuntutan Interfaith Council (IFC) yang mana isu tersebut sudah lebih sepuluh tahun diperkatakan.

Demikian ujar Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Aminuddin Yahaya dalam program Jelajah Arus Siswa (JELAS) yang bertajuk ‘COMANGO : Pengkhianat Negara’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Menurut beliau, jika ditelusuri isi kandungan Comango dan IFC ternyata kedua-duanya tidak jauh berbeza.

Sebagai contoh kedua-duanya menuntut seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak terus menjadi Islam, pelajaran agama bukan Islam diajar di semua sekolah, orang- orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam diberikan kebebasan murtad dan sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

“Ini menunjukkan bahawa ada usaha tersusun oleh  individu-individu atau pertubuhan-pertubuhan tertentu yang ingin mengubah status negara Malaysia daripada sebuah negara Islam kepada sebuah negara liberal,” ujarnya.

Dalam sesi pembentangan kertas kerja tersebut, Hj Aminuddin turut menjelaskan bahawa Comango tiada hak untuk mengubah dasar perlembagaan, tetapi mereka boleh memberikan tekanan kepada negara.

Beliau turut menyebut beberapa kesan terhadap negara dan umat Islam sekiranya kerajaan Malaysia tidak membantah tuntutan-tuntutan Comango tersebut.

“Banyak mudarat dan kesan buruk yang akan menimpa negara dan umat Islam akibat daripada tuntutan Comango; umpamanya generasi akan datang bebas menukar status kepada agama lain, pencairan identiti Melayu dan institusi orang Melayu dicabar, pemindaan undang-undang syariah dan banyak lagi.

“Kita wajib menentang tuntutan Comango kerana kebebasan hak asasi yang diperjuangkan dalam tuntutan tersebut ternyata mengikut neraca barat dan dilihat mengancam kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Hj Aminuddin yang juga merupakan wakil ISMA yang hadir ke Geneva untuk membalas hujah Comango, turut menyeru agar orang-orang Melayu bersatu demi kedaulatan Islam di Malaysia.

Program JELAS siri kedua anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Johor dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor, bertujuan memberi pendedahan mengenai agenda Comango dan menyedarkan mahasiswa tentang ancaman Comango terhadap masa depan Islam dan negara Malaysia.

Seramai lebih 300 orang peserta hadir dan menandatangani petisyen membantah tuntutan Comango.

Orang ramai diajak untuk menandatangani petisyen membantah tuntutan Comango di pautan berikut:

http://www.gopetition.com/petitions/1000000-rakyat-malaysia-sokong-comango-pengkhianat-negara.html#sign

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda