Aku melihat dunia hari ini
Orang-orang islam ibarat digenggam
Belenggu orang-orang kafir
Akhirat mereka luput
Dunia pun tercicir

Saya cukup terkesan akan bait puisi nukilan Syed Naquib Al-Attas ini. Lima baris yang cukup tepat membayangkan kepiluan beliau dalam menanggapi nasib umat Islam hari ini. Akhirat luput, dunia tercicir. Orang politik, ejen hiburan, media massa membonekakan mereka hidup-hidup tanpa sedar. Campak bola sebuah, yang di padang berlari mengejarnya, yang di bangku mata tak berkelip mengekornya. Tak perasan stadium sudah bertukar ‘bos’. Silap hari bulan, diterajang keluar dengan bola-bolanya sekali.

Isu kalimah Allah contohnya, saya kira Lim Guan Eng hampir berjaya menyuntik jarumnya. Hanya beberapa patah desakannya ketika Hari Natal lalu, melatah pemimpin-pemimpin umat Islam. Masing-masing mengeluarkan pandangan tanpa menyelidik hakikat sebenar. Mahkamah telah pun menggantung keputusan yang pada asalnya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam bahan cetak terbitan Herald. Manakala Majlis Fatwa Kebangsaan yang berada di bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja telah memfatwakan pada 2008 bahawa kalimah Allah khusus untuk orang Islam sahaja. Cukup sayu hati saya apabila ada yang mendakwa ia hanya propaganda politik sedangkan apa yang berlaku jelas menunjukkan akidah umat sedang diacah-acah.

Sebagai generasi muda, saya dilahirkan dalam suasana politik ‘satu antara dua’. Jika tidak A pasti B. Jika sokong B pasti bangkang A. Begitu persepsi yang ditanam sejak sekian lama. Namun begitu, saya yakin ramai generasi muda yang berkongsi rasa dengan saya. BN tidak semuanya salah dan PR tidak semuanya betul. Pada hemat saya, budaya politik kepartian sempit ini menyebabkan akhirnya sebahagian golongan muda mengeluarkan kata-kata seperti;

Politik? Not interested.

Politik? Kecil lagi.

Politik? Kotor.

Respon-respon itu hanyalah ‘escapisme’ mereka daripada mewarisi konflik turun-temurun. Natijahnya, sebahagian daripada mereka menjadi bebal lalu tercandu dengan budaya hedonisme. Mengelak berpijak pada bumi nyata. Mereka menjadi semakin tidak sensitif akan ancaman-ancaman yang sedang mengintai. Golongan ini berjaya menjadi pendesak kuasa politik yang menagih undi. Semua pihak berusaha gigih memenangi hati mereka. BN dengan isu Psynya dan K-Pop di himpunanan belia. Tidak ketinggalan PR turut terpalit dengan kontroversi konsert arak di Batu Feringhi dan tarian seksi di Bertam Nite.

Sebahagian golongan muda ini tua sebelum usia. Kekal lesu tanpa pendirian, cuba memekakkan telinga sedang jiwa mereka resah meratapi nasib umat ini. Tidak mampu menipu diri. Mereka ternanti-nanti penyelesaian yang tak kunjung tiba. Sementara itu, mereka lebih selesa menopang dagu, tunggu dan lihat!

AB_undi calon muslim berwibawa

Buat golongan kedua ini, saya katakan Arus Baru tampil untuk mengangkat suara hati anda. Kita mahukan pembaikan dalam pengamalan politik bersih dan dalam masa yang sama kehormatan Islam sebagai agama persekutuan harus diangkat pada tempatnya.

Generasi muda memerlukan ruang untuk bernafas dalam kerangka arus politik baru yang lebih mesra akidah, berakhlak, meraikan intelektual, tidak menyerang peribadi lawan semata-mata atau menajaja isu-isu murahan. Saya mewakili suara yang merasakan good governece bukan satu-satunya neraca yang perlu dipertimbangkan dalam memilih pemimpin. Ketegasan dalam memelihara hak institusi agama Islam, Melayu dan Raja juga harus diletak sebagai pemberat. Tugas berat ini pasti berdepan dengan seribu satu helah golongan anti Islam, pendokong sekularis dan sosialis. Hanya calon Muslim Berwibawa mampu memikulnya.

Akhir sekali, walaupun isu kalimah Allah seperti yang saya sebut di atas sangat menyayat hati saya, namun saya juga ingin berkongsi rasa syukur apabila Majlis Syura Ulama PAS turut melarang penggunaan kalimah Allah itu. Pendirian yang sama dinyatakan ISMA dan NGO-NGO Islam dalam PEMBELA. Jelas bagi saya, bibit-bibit kesepakatan atas akidah umat sedang bercambah. Cuma bak kata orang, mahu tapi malu. Masa akan menentukan. Cuma jangan tunggu lama-lama, terkilan nanti jika ada pihak yang terkorban di tengah penantian.

demi agama dan bangsa_arusbaru

Masa depan pasti ada untuk umat ini!

Kita tidaklah bersendirian, kerana kita mempunyai kekuatan fitrah; fitrah alam semesta dan fit­rah manusia. la merupakan simpanan tenaga yang banyak dan besar, lebih besar daripada setiap kebu­dayaan yang lahir untuk menentang fitrah. Kalau fitrah telah berlawanan dengan kebudayaan, maka fitrahlah yang akan menang, sama ada perlawanan itu lama atau sekejap. -Sayyid Qutb

Undilah Calon Muslim Berwibawa!

TENTANG PENULIS

< Entri Terdahulu
Tuntutan IFC

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda