Seruan Arus Baru adalah seruan untuk rakyat Malaysia memilih calon-calon muslim berwibawa pada Pilihan Raya Umum akan datang, semata-mata untuk memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tetap terpelihara.

Non-Muslim Juga

Muslim berwibawa bukan hanya menjaga kepentingan agama Islam dan penganutnya semata-mata, tetapi juga kepentingan agama-agama lain dan penganutnya, walaupun dianuti oleh golongan minoroti. Buktinya? Sejarah telah menceritakan bagaimana pemerintah Muslim tidak pernah menzalimi mana-mana penganut agama lain. Bahkan hak kebebasan beragama sentiasa dipelihara. Prinsip toleransi antara kaum dan agama ini sentiasa dipegang oleh muslim yang faham agamanya. Bukan hanya kerana dicatat dalam perjanjian atau perlembagaan, tetapi lebih dari itu aqidah dan kepercayaan Islamlah yang menggerakkan muslim untuk menghormati non-muslim dan turut menjaga kepentingan mereka.

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil (Al-Mumtahanah : 8)

hak non-muslim_arusbaru

Rasulullah SAW Menujukkan Teladan

Jelas dalam Perlembagaan Madinah , Nabi Muhammad SAW telah menanam semangat perpaduan antara kaum apabila menyifatkan semua orang yang hidup di Madinah dan sekitarnya dianggap sebagai satu masyarakat. Bangsa Yahudi non-muslim juga mendapat perlindungan terhadap agama dan harta mereka selagi mana mereka menunjukkan kesetiaan kepada perjanjian tersebut. Antara perkara-perkara utama dalam Perlembagaan Madinah:

  • Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
  • Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
  • Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
  • Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
  • Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut

Saidina Umar RA dan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis selepas menjadi wilayah Islam semasa pemerintahan Khalifah ke-2, Saidina Umar Al-Khattab disebut-sebut sebagai model kepada kepelbagaian kaum. Saidina Umar memberi jaminan atas hak-hak penduduk Kristian dan Yahudi untuk tinggal di Baitul Maqdis dan mengamalkan ibadat rutin mereka dengan aman.

Ketelusan dalam Pemerintahan Islam

Imbas kembali ketika Saidina Ali KWJ yang menjadi Khalifah kehilangan baju besinya. Beliau mendakwa seorang Yahudi di mahkamah kerana mencuri baju besi tersebut. Apabila kes dihadapkan di hadapan hakim, ternyata Saidina Ali tidak dapat membawa bukti dan saksi yang boleh diterima oleh hakim. Natijahnya, hakim memutuskan bahawa baju besi itu tetap milik Yahudi tersebut. Saidina Ali menerima keputusan tersebut walaupun beliau di pihak yang benar. Akhirnya, kerana terharu dengan pengadilan yang tidak memandang status dan agama oleh hakim muslim tadi, Yahudi tersebut menyerahkan kembali baju besi yang dicurinya kepada Amirul Mukminin.

Islam yang memiliki nilai-nilai sederhana dan adil tidak mungkin menyebabkan penganutnya menjadi punca perpecahan dalam masyarakat walaupun berbilang bangsa dan agama. Hanya calon muslim berwibawa yang mengamalkan ajaran Rasulullah SAW dapat menjadikan impian ini satu realiti. Seorang penulis terkenal (non-muslim), Bernard Shaw pernah berkata tentang Nabi Muhammad SAW :

“He must be called the Savior of Humanity. I believe that if a man like him were to assume the dictatorship of the modern world, he would succeed in solving its problems in a way that would bring it much needed peace and happiness.” (The Genuine Islam, Singapore, Vol. 1, No. 8, 1936)

Maka berdasarkan beberapa contoh ringkas ini kita telah dapat lihat betapa adilnya islam sebagai prinsip pemerintahan,yang sesuai untuk semua agama dan bangsa, dengan syarat ianya dilaksanakan oleh seorang pemimpin Muslim yang berwibawa.

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda