Allah berfirman dalam surah An-Nisa’ ayat 144:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang kafir sebagai pemimpin selain dari orang-orang mukmin. Apakah kamu ingin memberi alasan yang jelas bagi Allah (untuk menghukummu)?!”                               

Ini merupakan salah satu daripada beberapa ayat Al-Quran yang menerangkan bagaimana cara untuk memilih pimpinan bagi sesebuah negara. Selayaknya, seorang Muslim itu yang memimpin negara. Jika wujud calon Muslim yang berwibawa, tidak sewajarnya non-Muslim diberikan ruang untuk mentadbir negara, kerana Islamnya pemimpin itu adalah syarat asas yang digariskan di dalam kitab Fiqh klasik dan moden.

Muslim tapi rekod kotor?

“Lebih baik non Muslim yang jauh lebih berkredibiliti!”

Benar, tidak semua Muslim itu memahami tuntutan syahadahnya yang sebenar. Namun rekodnya masih bersih jika dibandingkan dengan non Muslim yang sudah terang lagi bersuluh, mempunyai rekod yang kotor di hadapan Allah, Tuhan Sekalian Alam!

Kelemahan yang ada pada pimpinan Muslim tidak mengharuskan sama sekali pimpinan non Muslim mendapat kuasa tawar menawar dalam politik negara. Keadilan non Muslim tidak wajar disamakan dengan nilai adil yang dikehendaki syarak.

Allah berfirman lagi: “Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah benar-benar kezaliman yang besar..” (Luqman;13)

Muslim tidak sepatutnya menegakkan benang yang basah, untuk menjaja kepada rakyat, seolah-olah pemimpin non-Muslim yang mempunyai daya kepimpinan hebat itu lebih baik berbanding seorang pemimpin Muslim. Di sisi Allah, seorang hamba yang beriman adalah jauh lebih berharga dari seorang kafir, walaupun kafir itu menarik hati dan mengagumkan masyarakat Muslim di sekeliling.

Sorotan Sejarah

Layar sejarah telah menyingkapkan, bagaimana akibatnya jika kelompok Muslim itu mengambil non Muslim sebagai sekutu yang dipercayai dan diangkat menjadi pemimpin. Sejarah pelayaran sebuah negara Islam yang terpahat di dalam sejarah, Andalusia amat menyayat hati. Namun itulah buah pahit yang perlu dipelajari dan diambil intipatinya oleh masyarakat Muslim pada hari ini.

Ketika itu, Abu Abdullah tidak berpuas hati dengan Sultan Andalusia, merangkap ayahandanya yang tidak melantik beliau mejadi pemimpin. Ini menyebabkan, beliau mengambil keputusan untuk berpaling tadah dengan memberikan taat setia beliau pada Kerajaan Kristian Sepanyol, Raja Ferdinand dan Ratu Isabella. Akhirnya dengan bantuan tentera Kristian, Abu Abdullah berjaya menjadi pemerintah, setelah ayahandanya terbunuh.

Namun, pemerintahan beliau tidak kekal lama, disebabkan beliau mendapat tekanan dari Raja Ferdinand. Tekanan itu menyebabkan wilayah Granada, wilayah terakhir dari Empayar Andalusia menjadi milik Kristian. Jatuhlah Empayar Islam Andalusia, empayar agung yang berjaya mengakar harum di muka bumi selama 800 tahun.

Inilah padahnya apabila kuasa menjadi tujuan dan matlamat. Hilang pertimbangan dalam isu yang sepatutnya tidak menjadi kompromi murahan. Apabila seorang Muslim sudah tidak mengenal kawan atau lawan yang sebenar, maka di situlah titik perpecahan akan mula kelihatan.

Setelah mengetahui hukum dan sejarah berkaitan isu kepimpinan Muslim di dalam negara sepertimana yang tertulis di atas, apakah jalan paling selamat untuk PRU 13 ini?

13947_534521446582050_1889876796_n

Praktikal di Malaysia

Amat menjadi keutamaan pada waktu sekarang di Malaysia, untuk meramaikan pimpinan Muslim dalam Parlimen Negara, untuk memastikan kuasa tawar-menawar milik umat Islam, selaras dengan tuntutan Allah di dalam Al-Quran. Ini adalah isu penting, untuk memastikan Islam kekal sebagai subjek dominan dalam negara.

Situasi minoriti non Muslim yang bersepakat, ditambah pula dengan perpecahan politik Melayu menyebabkan kuasa politik Melayu Muslim terancam, dan akan menganggu gugat kedaulatan Islam di Malaysia.  Siri-siri percakaran antara dua parti politik Melayu Muslim terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS yang seakan-akan tidak berkesudahan menyebabkan keadaan kian meruncing.

Justeru, dalam menghadapi situasi begini, meramaikan Muslim ke dalam parlimen adalah salah satu jalan untuk menjamin kelangsungan kuasa politik Melayu Muslim. Walaupun dalam keadaan berbeza parti, harapan diamanahkan atas bahu mereka, supaya bersepakat dalam isu-isu kepentingan umum umat Islam pasca PRU 13.

Isu terbesar adalah tuntutan menjaga kuasa tawar menawar Islam, supaya siyadah (ketuanan) Islam terus berdaulat di Malaysia. Ia akan menjadi sempurna dengan calon Muslim yang berwibawa dipilih untuk menjadi pemimpin bagi menerajui isu nasional dan Islam itu sendiri.

KAMI UNDI CALON MUSLIM BERWIBAWA

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda