Polemik isu kalimah Allah baru-baru ini merupakan ulang tayang isu sama yang berlaku pada tahun 2008, menunjukkan terdapat pimpinan parti yang kurang sensitif atau mungkin juga tidak tahu langsung mengenai gerakan pemurtadan atau lebih tepat lagi gerakan kristianisasi.

Muhammad Ahmad Ar-Rasyid memberi kesimpulan bahawa sebarang pertembungan di dunia ini sebenarnya adalah pertembungan antara akidah Islam dengan selainnya. Hadis Nabi berbunyi;

“ Semua kekufuran itu adalah agama yang satu”

 Dalam surah Al-Anfal ayat 73 juga Allah merakam;

“ Dan orang-orang kafir setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar”.

Mereka yang naif sahaja akan membutakan mata terhadap sejarah gerakan dakyah dan permurtadan yang berlaku di Tanah Melayu semenjak zaman Portugis lagi. Dipetik dari buku “A History of Protestant Mission in Malaya During the 19th Century”

“Orang Melayu yang menentang Portugis ditangkap dan dirantai sambil dipaksa mereka memecahkan kubur Sultan-sultan Melaka dan masjid-masjid untuk diambil batu-bata ini untuk dijadikan kubu pertahanan. Mereka turut dipaksa untuk membina gereja.”

Gerakan dakyah ini terus bergerak tanpa henti di zaman penjajahan Belanda, British sehinggalah ke zaman pasca kemerdekaan. Usaha mereka yang berterusan kini membuahkan hasil. Bangsa Melayu Muslim yang suatu ketika dahulu pernah diiktiraf oleh Paderi Joseph Harry Haines dalam kajiannya sebagai bangsa yang paling susah untuk dimurtadkan menjadi penganut Kristian, kini menjadi bangsa yang paling naif dan mudah disesatkan.

Bancian tahun 2000 menunjukan bilangan penganut Kristian 2.0235 juta orang. Terdapat peningkatan seramai 611 ribu orang atau 43.28 peratus berbanding pada tahun 1991 iaitu 1.4123 juta orang. Jika satu unjuran kasar garis lurus dibuat, jumlah pengikut Kristian pada tahun 2010 sepatutnya berjumlah 2,279,861. Namun menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia jumlah penganut Kristian pada tahun 2010 ialah seramai 2,617,157 orang. Ini bermakna kadar pertambahan penganut Kristian melebihi tahun 1991-2000. Dengan pelbagai model unjuran yang boleh digunakan, penganut agama Kristian boleh menjadi kelompok majority kurang dari 100 tahun akan datang.[1]

Mereka yang kurang peka kepada perkembangan dunia akan mengatakan dakwaan ini mengarut dan tidak mungkin berlaku di Malaysia. Itu salah. Ia telah berlaku dan sedang berlaku dan akan terus berlaku. Contoh yang paling mudah untuk kita lihat kejayaan gerakan mubaligh Kristian ini ialah model Korea Selatan. Dalam kurang 40 tahun dari hasil kerja bersungguh mubaligh bermula 1970an, Negara itu kini menjadi sebuah Negara yang peratus bilangan penganut kristian tertinggi di Asia Timur, malah menjadi pecahan terbesar iaitu 40 peratus dari jumlah penduduk Korea Selatan sendiri! Sedangkan agama asli penduduk Korea ialah Buddha dan Taoisme.

Mungkin juga mereka yang menafikan dakwaan ini terlupa apa yang berlaku kepada Timur Timor atau kini dikenali sebagai Timor Leste dan juga selatan Sudan. Semua ini adalah sebahagian daripada tanah Islam yang dikeluarkan dek kerana ramainya penganut Kristian dalam kawasan ini dan campur tangan Barat dalam kemelut dalaman negara. Mungkin satu hari nanti, jika dakyah Kristianisasi di Sarawak tidak segera dibendung, Sarawak akan mengisi senarai panjang tanah negara Islam dan berjaya dimerdekakan. Mereka sudahpun bersedia dan sudahpun mencalonkan seorang Kristian untuk mengetuai Serawak, tapi kita masih tertipu dengan slogan keadilan, kesamarataan hak dan negara kebajikan.

Jika mahu disebut semua strategi gerakan Kristianisasi ini, maka tidak akan cukup artikel sependek ini untuk menyenaraikannya. Senarai ini mencukupi untuk membuka mata pembaca ;

  1. Pendidikan – konsep “kindergarten” yang menggunakan nyanyian lagu kanak-kanak yang diselitkan mesej gereja. Sekolah-sekolah mubaligh (Missionary Schools)[2]. Pusat Tuisyen yang menyediakan perkhidmatan percuma tapi menyelitkan dakyah Kristian[3]
  2.  Ekonomi – Kes DUMC yang menggemparkan umat Islam pada bulan Ramadhan tahun lalu cukup menggemparkan. Isu kemiskinan menjadi penyumbang dan memberi peluang mereka menyebar dakyah.
  3. Kebajikan – Dalam rencana “ The Growth of Christianity in Asia and Its Impact on Mission”, penulisnya Dr Julie Ma mengesahkan kerja-kerja dakyah yang dilakukan melalui aktiviti sosial dan kebajikan ini.[4] Ini tidak termasuk misi-misi bantuan bagi bencana besar seperti yang berlaku di Acheh, di mana anak-anak kecil dimurtadkan melalui program anak angkat.
  4.  Penglibatan dalam arena Politik – resolusi perhimpunan Christian Federation Malaysia (CFM) 17-20 Februari 1987 mahukan lebih ramai ahli politik dari kalangan pemimpin Kristian. Melalui kuasa yang ada pada mereka sudah tentu memudahkan urusan kelompok ini.[5] Bilangan menteri kabinet beragama Kristian sekarang berjumlah 5 orang dari jumlah keseluruhan 28 orang, bermakna 18% sedangkan penduduk Malaysia yang beragama Kristian hanyalah 10%.

Apa yang penulis inginkan di sini bukanlah untuk pembaca meratapi nasib umat atau duduk berdiam diri memencil dari masyarakat. Umat Islam perlu bangkit. Jika Kristian boleh untuk duduk bersama Protestant dan Ortodoks, mengapa tidak kita? Kita sepatutnya meramaikan lagi ahli parlimen dari kalangan orang Islam yang berwibawa, membawa agenda Islam, menyekat pengembangan Kristian.

arus baru_Islamlah yang tertinggi

Janganlah kita tertipu dengan manis mulut mereka kerana Allah telahpun mengajar kita hati budi mereka dalam surah Ali-Imran ayat 118,

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. “

 

Kami undi calon muslim berwibawa.

Artikel dihasilkan dari kertas kerja Dakwah Islamiyah dalam Mendepani Gerakan Permutadan Di Malaysia oleh A.Karim Omar.


[1] Sumber: Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2010 (Banci 2010) http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/census2010/Taburan_Penduduk_dan_Ciri-ciri_Asas_Demografi.pdf

[2] Persidangan ini telah diadakan di Pulau Pinang pada 23-24 April 2010. Sebahagian rakaman video boleh ditonton di http://leadershipsummit2010.tumblr.com/post/652394230/day-2-education-panel-discussion-introduction. Persidangan ini turut menjemput YB Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sebagai salah seorang penceramah jemputan. EFC Leadership Summit ini disusuli pada tahun-tahun berikutnya dengan nama “Transforming Our City Together (TOCT)”.

[3]Pusat tuisyen didakwa sebar dakwah Kristian ditutup,” Utusan Malaysia, 20 Ogos 2011 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm – akses 22 Ogos 2012 –

[4] Julie Ma, The Growth of Christianity in Asia and its Impact on Mission http://www.redcliffe.org/uploads/documents/the_growth_of_christianity_in_asia_16.pdf – diakses 17 September 2012.

[5] Ghazali Basri, Gerakan Kristian, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1999, hal. 57-58.

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda