السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ  اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Pada masa ini seluruh rakyat Malaysia tertunggu-tunggu pengisytiharan pembubaran Parlimen Malaysia. Ramai yang menjangka pembubaran itu akan berlaku pada bila-bila masa dan musim sekarang adalah musim pilihan raya. Dalam musim pilihan raya ini ada satu hari yang cukup penting, ia itu hari mengundi. Pada hari tersebut, kita semua akan memilih pemimpin dan juga menentukan halatuju negara. Kita perlu sedar bahawa apabila kita mengundi atau memilih pemimpin, kita menyerahkan amanah kepada calon yang kita pilih. Kepimpinan dan amanah tidak datang asing-asing. Kepimpinan dan amanah datang seiring. Islam meletakkan kepimpinan sebagai satu perkara yang bukan main-main. Kepimpinan merupakan suatu perkara yang penting dalam memberi kesan perubahan kepada umat manusia pada setiap zaman dan tempat. Oleh itu, sekiranya kita tidak keluar mengundi pada pilihanraya nanti maka kita tidak kisah siapa yang akan menjadi pemimpin kita. Marilah sama-sama kita menghayati sabda Rasulullah saw:

روى الحاكم في المستدرك بسنده عن حسين بن قيس الرحبي عن عكرمة عن ابن عباس رضي: من استعمل رجلا من عصابة وفي تلك العصابة من هو أرضى لله منه فقد خان الله وخان رسوله وخان المؤمنين . قال الحاكم: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه .

Maksudnya: Sesiapa yang melantik seorang lelaki dari satu kaum sedangkan terdapat padanya orang lain yang lebih diredhai oleh Allah, maka mereka telah mengkhianati Allah, mengkhianati Rasulullah dan mengkhianati orang-orang mukmin. (Hadis Soheh)

Allah juga mengingatkan kita melalui  ayat 55 surah an-Nur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Di a juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt

Ketika membicarakan tentang amanah kepimpinan maka ia bukan suatu yang boleh dianggap remeh kerana ia bakal menyaksikan kebahagiaan atau penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Kita sentiasa ingat bagaimana pesanan nabi kepada seorang sahabat yang bernama Abu Dzar. Beliau  datang bertanyakan tentang jawatan ketika sahabat-sahabat yang lain dilantik oleh Rasulullah saw sedangkan beliau sendiri tidak diberi sebarang jawatan lalu nabi bersabda :

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْىٌ وَنَدَامَةٌ إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ فِيهَا  – رواه مسلم

Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya. (Riwayat Muslim)

Kita sering mendengar kisah reaksi Sayyidina Umar al-Khattab apabila mendapat khabar ada seekor kaldai tergelincir di perjalanan. Pada satu malam Sayyidina Umar tidak dapat tidur kerana sampai berita ada seekor kaldai yang tergelincir di Iraq. Akibat dari peristiwa ini Umar menangis dan mengakui berdosa kepada Tuhan “Ya Allah, saya menjadi pemimpin tetapi gagal untuk membuat jalan yang elok sehingga ada haiwan yang tergelincir.”  Kejadian yang menimpa seekor kaldai sudah cukup menjadikan Umar bertanggungjawab untuk memastikan rakyat di bawah kepimpinannya hidup selesa dan sejahtera. Umar sesungguhnya memahami hadis Rasulullah saw yang bermaksud ‘Pemimpin satu kaum adalah pelayan mereka.’ Hadis riwayat Abu Naim ini membawa maksud bahawa seorang pemimpin adalah pelayan atau khadam kepada orang-orang yang di pimpin bukannya rakyat jelata melayani pemimpin. Walaupun begitu kita harus menghormati mereka sebagai pemimpin.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah swt

Hari ini umat Islam sudah terlalu jauh dari menghayati dan melaksanakan tanggungjawab al-Imarah atau kepimpinan. Amatlah jauhnya penghayatan makna al-Imarah ini jika dibandingkan dengan generasi awal Islam. Bagaimanakah agaknya jawapan kita jika soalan-soalan ini di ajukan kepada kita? Dalam kategori manakah yang perlu kita letakkan seorang pemimpin yang membiarkan rakyatnya hidup melarat kerana ketiadaan kemudahan asas. Dalam golongan manakah yang hendak kita letakkan seorang pemimpin yang hidup mewah  di atas penderitaan rakyat. Dalam kategori manakah yang hendak kita letakkan seorang wakil rakyat yang sibuk mengumpul harta peribadi dan tidak kisah kepada amanah yang di beri. Dalam golongan manakah  yang perlu kita letakkan seorang wakil rakyat yang tidak membawa agenda rakyat yang diwakilinya tetapi sebaliknya mempelopori agenda asing dan agenda Barat . Dalam kelompok apakah perlu kita kategorikan seorang Melayu Islam yang mewakili parti yang dikuasai oleh bukan Islam dan dijadikan sebagai proksi mereka. Saya pasti sidang jumaat sekalian mempunyai jawapan tersendiri terhadap soalan-soalan tersebut.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt

Satu lagi contoh pemimpin yang boleh di jadikan   penanda aras atau benchmark umat Islam ialah Said bin Amir al Jummahi. Beliau diangkat menjadi Gabenur Homs di Syria pada masa pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab ra.

Sa’id bin Amir al-Jumahi adalah seorang pemimpin yang tidak dapat melayani masyarakat dari pagi hari kerana tidak memiliki pembantu dan harus mengerjakan sendiri kerja-kerja di rumah terlebih dahulu. Sa’id bin Amir juga tidak menerima tetamu pada malam hari kerana waktu malam adalah waktu beliau beribadah kepada Allah swt. Sekali dalam satu bulan Sa’id bin Amir  tidak dapat bertemu masyarakat kerana beliau harus mencuci satu-satunya baju yang di milikinya.

Pada satu ketika, Umar mengutuskan delegasi ke Homs untuk menyenaraikan golongan fakir di sana sebagai penerima zakat. Sekembalinya delegasi tersebut ke Madinah, Umar memeriksa senarai golongan fakir dan mendapati  nama Said bin Amir di dalam senarai tersebut. Lalu bertanya Umar kepada delegasi tersebut “ Adakah Said yang dimaksudkan ini merupakan Gabenor Homs?” Lalu mereka menjawab “Ya”. Lalu menitislah air mata Umar serta beliau menyuruh delegasi tersebut menghadiahkan 1000 dinar untuk kegunaan rumahtangga Said.

Apabila wang tersebut sampai kepada Said, maka berubahlah air muka beliau. Perkara ini diperhatikan oleh isteri beliau lalu dia bertanya “ Adakah Khalifah Umar telah wafat?” Jawab Said “Bahkan lebih buruk lagi.” “Adakah kaum muslimin kalah dalam peperangan?” “Bahkan lebih lagi.” “Jadi, apakah yang terjadi?” isteri beliau bertanya. “Dunia telah datang untuk merosakkan akhiratku.” jawab Said bin Amir. Maka isteri beliau pun menjawab “Maka jauhilah ia.” Lalu Said pun membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin.

Inilah kisah seorang pemimpin yang dilahirkan dari madrasah Rasulullah saw. Pemimpin yang bukan sahaja menjadi khadam kepada umatnya bahkan apabila disenaraikan golongan fakir dan miskin di negeri yang dia tadbir, dia sendiri adalah salah seorang darinya. Said bin Amir  adalah salah satu contoh terbaik kepada  umat Islam di saat sebahagian pemimpin-pemimpin mengkhianati amanah dengan menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut kekayaan dan mengumpul harta.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt

Allah telah menjanjikan doa  seorang pemimpin yang adil akan sentiasa di makbulkan. Begitu juga di akhirat nanti, pemimpin yang adil akan dipayungi di bawah naungan atau  bayangan ‘arasy Allah swt. Ia bukan suatu janji yang kecil dan ia juga bukan  suatu janji yang mudah dicapai kecuali bagi orang-orang yang sentiasa bertaqwa dalam menguruskan amanah kepimpinan serta tidak menjadikan hamba kepada hawa nafsu.

Imam Syafi’e pernah berwasiat tentang 5 perkara yang mesti ada pada pemimpin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah swt dan jujur dalam kepimpinan iaitu (1) benar dalam percakapan, (2) menjaga rahsia, (3) menunaikan segala janji, (4) sentiasa memberi nasihat kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan (5) menunaikan segala kewajipan yang diamanahkan dengan telus dan jujur.

 

Sidang jumaat yang di muliakan Allah swt

Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan. Tapi ia adalah satu amanah dan tanggungjawab. Ia boleh membawa kepada penyesalan yang amat besar. Mari kita menghayati sabda Rasulullah saw:

عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ” ما من أمير يلي أمر المسلمين ثم لا يجهد لهم وينصح إلا لم يدخل معهم الجنة ” . هذا حديث صحيح أخرجه مسلم عن عقبة بن مكرم .

Maksudnya: Mana-mana pemimpin yang dilantik memimpin urusan umat Islam, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh berkhidmat kepada mereka, nescaya dia tidak masuk ke syurga bersama mereka.

وقوله – صلى الله عليه وسلم  ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة

Maksudnya: Sesiapa yang dilantik oleh Allah untuk memimpin rakyat, pada hari kematiannya, dia telah menipu rakyatnya. Allah telah mengharamkan syurga ke atasnya.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah

Pada hari ini, di kala umat Melayu Islam ditimpa pelbagai kemelut seperti isu perpaduan, kewibawaan pemimpin, ancaman aqidah oleh golongan syiah dan kristian, kedudukan hak-hak Melayu Islam semakin terhakis, kedaulatan Islam semakin dihimpit dan bermacam-macam lagi, kita tidak boleh lagi berdiam diri. Kita harus keluar mengundi dan memilih calon-calon Muslim yang berwibawa sebagai wakil rakyat. Apakah ciri-ciri yang mesti dimiliki oleh seorang calon Muslim berwibawa? Antaranya ialah:

  1. Mesti memiliki aqidah yang sejahtera. Tidak sedikit pun dipengaruhi oleh agama lain seperti Kristian dan Syiah.
  2. Bertaqwa atau takut kepada Allah swt.
  3. Memiliki akhlak yang mantap yang boleh dijadikan contoh tauladan.
  4. Berkemampuan, cekap dan amanah dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat. Bukannya menjadi agen barat atau pihak asing yang memusuhi Islam.
  5. Memiliki visi, misi serta keberanian untuk mendesak agenda Islam dilaksanakan sepenuh dan sebaiknya di dalam negara.Tidak memadai sekadar mempunyai misi dan visi tetapi pengecut dan penakut.

Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt

Tibalah masanya kini kita memahami dan menghayati makna dan tuntutan al-Imarah atau kepimpinan dalam Islam. Berhati-hatilah dalam memilih pemimpin kita. Pilihlah pemimpin Muslim yang bertaqwa, amanah dan berwibawa. Wakil rakyat yang akan lantang bersuara dan berani mempertahankan segala kepentingan umat Islam. Wakil rakyat yang bersedia untuk menyatukan umat Islam agar dapat duduk semeja, berunding, berbincang dan bersepakat tanpa mengira blok kepartian. Bukan hanya kemenangan dan survival parti politik sahaja yang perlu di ambil kira, tetapi yang lebih penting dan paling utama kuasa politik umat Islam perlu di pertahankan dan di jaga. Saki baki kedaulatan Islam dan hak-hak orang Melayu yang masih ada di negara kita mesti dipertahankan. Jangan kita leka dalam sorakan kemenangan pilihan raya sedangkan umat Islam sudah hilang bargaining power. Jangan kita ghairah dengan kemenangan dalam pilihan raya sedangkan kuasa umat Islam sudah di persenda.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda