Pernah satu malam di bulan Ramadhan, para Ikhwan ingin menunaikan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah. Maka timbul perselisihan di kalangan Ikhwan ketika itu, ada yang ingin menunaikan 8 rakaat, ada pula yang ingin menunaikan 20 rakaat. Masing-masing membawa hujah dan dalil. Ada yang mengatakan Rasulullah hanya menunaikan 8 rakaat sahaja secara berjemaah, tidak kurang pula yang membawakan dalil Amirul Mukminin Umar Al-Khattab menunaikan 20 rakaat Tarawih secara berjemaah. Maka hampir berlaku tikam lidah sesama Ikhwan pada ketika itu.

Lalu Imam Hasan Al-Banna datang, lalu mengarahkan semua Ikhwan untuk pulang dan menunaikan Solat Sunat Tarawih sendiri di rumah masing-masing. Beliau bertegas dalam menyuruh semua Ikhwan untuk pulang ke rumah. Lalu seorang Akh bertanya kepada Imam Hasan, ” Wahai Sheikh, kenapa kau menyuruh kami semua pulang ke rumah, bukankah lebih baik di dalam bulan Ramadhan ini kami mengerjakan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah? Pahalanya akan berlipat kali ganda..” Lantas Imam Hasan Al-Banna membalas, “Ya betul apa yang kau perkatakan. Namun, bukankah Solat Tarawih itu SUNAT sahaja hukumnya, sedangkan Menjaga Ukhuwwah itu hukumnya WAJIB?”

Hebat kerangka pemikiran Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna, pengasas Jemaah Ikhwanul Muslimin. Ikhwanul Muslimin adalah antara gerakan Islam yang paling berpengaruh di dunia ketika ini. Beliau berjaya menanamkan satu pemahaman penting dalam kalangan ahli-ahli Ikhwan, bahawa perpaduan adalah antara aset paling berharga bagi umat.

Melihat kepada batang tubuh bangsa Melayu Muslim di Malaysia pada hari ini mengundang perasaan yang amat mengecewakan. Usahkan perpaduan, persepakatan dalam beberapa isu bersangkutan dengan agama dan bangsa pun masih jauh untuk dicapai. Antara isu yang paling ketara kebelakangan ini adalah isu kalimah Allah dan isu Syiah. Politik Melayu pada hari ini adalah politik yang sunyi dan jauh daripada unsur perpaduan antara bangsa Melayu Muslim itu sendiri, kerana politik yang diaplikasikan adalah politik kotor dan perpecahan.

Jika dibuat andaian, semua parti politik Melayu di Malaysia bersepakat dalam satu agenda yang selaras, iaitu mengenai kepentingan agama, bangsa dan negara. Sudah pasti, semua parti Melayu akan bercakap dalam konteks yang sama iaitu mempromosi cara mereka mendaulatkan Islam dan membela agenda bangsa Melayu. Ini menatijahkan perlumbaan yang sihat di antara parti politik, yang mana antara parti-parti ini yang lebih hero dalam memenangkan isu agama Islam dan bangsa Melayu.

Namun apabila parti-parti politik Melayu menunggang agenda lain yang keluar daripada kerangka Islam, umpama agenda liberalisasi, pluralisasi, sekularisasi, maka pertembungannya akan menatijahkan perkara yang berbeza. Pertembungan akan membawa kepada siapa yang lebih liberal, siapa yang lebih berkhidmat kepada pihak yang mempunyai kepentingan dan sebagainya. Ini akan menyebabkan perpecahan yang serius dalam kalangan bangsa Melayu, dan yang lebih parah lagi, agenda Islam dan Melayu yang tergadai dek kerana perpecahan yang tak berkesudahan.

“…dan janganlah kamu berselisih, yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang..” (Al-Anfal:46).

Melihatkan perkara ini, ada satu jalan keluar untuk memastikan agenda Islam dan bangsa Melayu terus berdaulat di Malaysia. Mari pilih wakil rakyat berdasarkan peribadi calon, bukan kerana jenama parti yang dipertandingkan. Tamatkan ketaksuban parti. Pilihlah calon yang amanah, berakhlak, setia pada agama dan negara, tidak membawa campur tangan asing dan cintakan perpaduan sesama muslim dan kesejahteraan sesama kaum.

Kami Undi Calon Muslim Berwibawa!!!

TENTANG PENULIS

Entri Seterusnya >
Harapan Ummah!

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda