Saban hari, kita disogok dengan pelbagai bentuk persepsi akan kewujudan institusi raja di Malaysia. Pelbagai pihak dan individu melontarkan pendapat masing-masing. Ada yang berpendapat masih relevan Institusi Raja terus dikekalkan. Dan tidak kurang juga yang menginginkan agar institusi ini dilenyapkan kerana fungsinya yang tidak mapan dan sudah tamat tempoh menurut sebahagiannya.

Jika diteliti, kebanyakan yang menganggap institusi raja ini sudah lapuk adalah kerana raja-raja sudah tiada peranan yang betul-betul penting di dalam negara. Lantas, lontaran idea untuk melenyapkan institusi ini timbul, dan ada juga yang mencadangkan agar Malaysia dibentuk menjadi sebuah negara republik.

Dari sudut pandang masa depan Islam, Institusi Raja mempunyai peranan yang amat besar dan penting untuk kedaulatan Islam itu sendiri.

Perkara 3 Perlembagaan memperuntukkan bahawa, setiap Raja adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing, manakala Yang-Dipertuan Agong merupakan ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja seperti Melaka, Pulau-Pinang, Sabah dan Sarawak. Sepertimana yang kita sedia maklum, bahawa Institusi Raja di Malaysia terdiri daripada dua entiti, iaitu Yang Dipertuan-Agong dan Majlis Raja-Raja.

Dalam Jadual 4 Perlembagaan, menjelaskan sumpah Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama, adalah bagi menegakkan dan memelihara agama Islam pada setiap masa. Dalam menjalankan tugas ini, baginda mempunyai budi bicara dan tidak terikat dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO).

Berdasarkan beberapa peruntukan di atas, dapat kita fahami bahawa, Institusi Raja mempunyai kuasa yang melangkaui parti politik dalam hal yang berkaitan agama Islam. Sebagai contoh, titah Sultan Selangor, Paduka Sultan Syarafuddin Idris Syah untuk tidak membenarkan sebuah pun kelab malam dibuka di Selangor. Baginda juga tidak mengizinkan kalimah Allah digunakan di dalam Bible Bahasa Melayu. Titah Sultan ini wajib dipatuhi oleh semua pihak, termasuklah pihak kerajaan mahupun pembangkang, walaupun masing-masing ada kepentingan politik yang tersendiri.

Poster Raja Nazrin 1_403x403

Insititusi Raja adalah merupakan lambang dan simbol kepada kemerdekaan dan agama Islam itu sendiri. Banyak kelebihan dan peranan yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk Raja-Raja berkaitan agama Islam itu sendiri. Dalam erti kata lain, agama Islam diberikan ruang yang cukup luas di Malaysia, dan dijaga rapi oleh sebuah institusi secara khusus berbanding agama-agama lain. Ini secara tidak langsung menatijahkan, bahawa dengan wujudnya Institusi Raja ini, maka Islam sukar diganggu gugat, walaupun agama –agama lain dibenarkan untuk dipraktikkan di Malaysia.

Mungkin ramai yang berpendapat, ada di antara Raja dan Sultan yang tidak pun mengamalkan Islam dalam kehidupan peribadi mereka, di sebalik ‘jawatan’ mereka sebagai Ketua Agama Islam. Memang di sana wujud serba-serbi kekurangan, itu tidak boleh dinafikan. Raja-raja tidak berkuasa mutlak dan mereka juga bukanlah seorang Muslim yang terlepas dari melakukan dosa. Namun, tidak sepatutnya kita menafikan peri penting Insitusi Raja dalam memelihara Islam hanya dengan kekurangan-kekurangan yang ada, tanpa melihat dalam skop yang lebih meluas dan futuristik. Ancaman-ancaman yang lebih membahayakan terhadap Islam pada masa akan datang, memerlukan sebuah entiti khusus untuk memeliharanya.

Ringkasnya, kedaulatan Islam di bumi Malaysia dapat dipertahankan melalui Institusi Raja. Dengan kewujudan Institusi Raja di Malaysia, mana-mana pihak kerajaan ataupun pembangkang yang berkepentingan, tidak mampu menggugat apa-apa isu berkaitan sensitiviti agama Islam. Masyarakat Melayu perlu bijak dalam membuat pilihan dan penilaian, untuk memastikan kedaulatan Islam terus bersinar tanpa ancaman dari mana-mana sudut.

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda