Muslim moderat bahaya terhadap umat Islam kerana ia menyelitkan racun yang boleh merosakkan minda golongan awam, iaitu fahaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme. Istilah moderat menurut kriteria Barat (RAND Corporation) ini digunakan secara strategik untuk mengubah Islam dan muslimin sekaligus.

Maksudnya ialah apa-apa sahaja penentangan terhadap moderat (menurut istilah Amerika ini) akan dianggap sebagai ekstrim dan melampau, yang mesti dihukum menurut undang-undang antarabangsa. Istilah yang asalnya bagus ini dirampas dan dijadikan senjata yang dihunuskan di depan Islam dan muslimin, serta mereka yang tidak memusuhi Islam.

Mereka akan dipaksa memilih sama ada bersama moderat muslim (menurut istilah Amerika) atau bersama pelampau dan ekstrimis iaitu kumpulan Islamis yang mempertahankan ketulenan Islam yang telah digambarkan oleh media sebagai pelampau atau ekstrimis. Sebenarnya muslim moderat ini merupakan satu serangan pemikiran Barat ke atas dunia Islam dan strategi Barat untuk menguasai dunia Islam.

Apabila fahaman yang mendokong muslim moderat ini berleluasa, maka secara tidak langsung ini memberi gambaran buruk terhadap masyarakat yang ingin mengamalkan ajaran Islam yang sebenar berlandaskan al-Quran dan hadis kerana akan digelar sebagai pelampau atau ekstrimis.

Ini memberi kesan yang buruk terhadap masyarakat Islam secara keseluruhannya kerana hal ini dapat merosakkan akidah mereka. Akidah yang sejahtera adalah perkara asas dalam pembentukan peribadi muslim sejati di mana ianya terlahir daripada kefahaman yang jelas tentang ajaran Islam yang berpandukan al-Quran dan hadis dan tidak dicemari oleh fahaman-fahaman ciptaan manusia. Malangnya, Barat mahu menafsirkan semula Islam agar selari dengan kepentingan mereka dan perubahan dunia seperti yang berlaku pada agama Kristian dan Yahudi.

Barat berjaya merosakkan cara berfikir kaum Muslimin terhadap Islam, dari peringkat pemimpin hinggalah ke rakyat jelata. Sesungguhnya dunia ini dijadikan oleh Barat umpama sebuah syarikat di mana Barat adalah tuanpunya sekaligus penanam modalnya dan negara-negara lain hanyalah sebagai buruh (pekerja) dan pengguna sahaja.

Barat melengkapkan hegemoninya ke atas dunia ini dengan penguasaan di bidang teknologi, telekomunikasi dan informasi raksasa dan menempatkan jaringan-jaringan informasi di negara-negara yang berkiblatkan mereka. Hal ini dilakukan Barat agar kaum Muslimin tidak membaca kecuali apa yang ditulis oleh Barat, tidak mendengar dan tidak melihat kecuali apa yang disiarkan oleh Barat, tidak memahami sesuatu kecuali menurut perspektif yang diinginkan oleh Barat dan tidak berbicara kecuali menurut apa yang dimahukan oleh Barat.

Arus Baru_Article Muslim Moderat

Jika dulu, penjajahan yang dilakukan adalah berbentuk fizikal, namun kini penjajahan model baru adalah dalam bentuk pemikiran, budaya dan ideologi di mana kesannya membolehkan Barat menguasai aspek politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya secara sekaligus ke atas umat Islam.

Dengan ‘tunduknya’ pemikiran pemimpin kaum Muslimin secara khusus dan umat Islam secara umumnya, kepada pemikiran Barat, maka aspek-aspek lain, termasuk ketenteraan dapat dikuasai dengan mudah oleh Barat. Keadaan ini mengheret kaum Muslimin memberikan segala ketaatan dan kesetiaan secara mutlak kepada (pemikiran dan peradaban) Barat sehingga tidak ada satu pun yang boleh mengancam kepentingan mereka.

Malapetaka yang lebih dahsyat terjadi apabila dalam hal agama pun, Barat menginginkan agar kaum Muslimin memahaminya dengan cara dan metod berfikir mereka. Jika ada orang/kelompok Islam yang menyimpang dari cara pandang mereka, maka Barat akan menggerakkan media massa untuk menyerang orang/kelompok tersebut habis-habisan lalu menggambarkannya dengan pelbagai imej negatif dan menganggap orang/kelompok tadi sebagai orang/kelompok yang menentang kemajuan, keluar dari ‘mainstream’, merosak kesatuan dan mendeskripsikannya sebagai ekstremis, teroris, fundamentalis dan radikal.
Bahkan Barat tanpa segan silu akan mengatakan bahawa orang/kelompok tersebut sebagai musuh kemanusiaan dan orang-orang bodoh yang ingin kembali ke zaman kegelapan. Ini semua kerana orang/kelompok itu menyebarkan pemikiran yang bercanggah dari Barat.

Setelah segala imej buruk direkayasa dan fakta pun dimanipulasi sedemikian rupa, maka tugas Barat sekarang ini adalah memastikan para penguasa kaum Muslimin bertindak sebagai ‘anjing’ mereka untuk menyalak, mengejar dan seterusnya menangkap orang/kelompok tersebut. Sebagai tanda ‘sedia berkhidmat’ dan ketaatan kepada tuan mereka, maka para pemerintah ini terus bergegas menunaikan perintah, tanpa sedikitpun bantahan atau rasa malas, demi memastikan Barat sentiasa memuji, ‘membelai’ dan menjaga mereka.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada terlahirnya Muslim Moderate dalam masyarakat kita hari ini tidak lain tidak bukan daripada serangan pemikiran yang dilaksanakan oleh Barat melalui fahaman-fahaman liberalisme, pluralisme, sekularisme dan lain-lain yang kian merasuk jiwa-jiwa kita hari ini terutamanya golongan remaja.

Remaja masa kini terlalu mengagungkan Barat dan mudah terpengaruh dengan sesuatu yang dibawa oleh Barat sehingga sanggup menggadaikan akidah tetapi kebanyakan daripada mereka tidak menyedari hakikat ini.

Selain itu, peranan individu yang berpengaruh di sesebuah negara seperti pemimpin, golongan intelektual yang terdiri daripada pensyarah, doktor dan sebagainya turut mempengaruhi pemikiran remaja masa kini dalam menerima sesuatu fahaman.

Adalah menjadi sesuatu yang merugikan sekiranya golongan yang berpengaruh ini telah didoktrinkan dengan fahaman-fahaman sebegini kerana akhirnya mereka akan mempopularkan fahaman ini terhadap generasi muda yang menjadikan mereka ikon masa kini. Adalah lebih baik sekiranya mereka menggunakan kepakaran mereka untuk sesuatu yang membangunkan ummah bukannya menghancurkan ummah.

Kesimpulannya, ajaran Islam sebenar yang berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah haruslah disebarkan kepada masyarakat dengan lebih giat lagi melalui medium yang telah wujud supaya kefahaman masyarakat dalam sesuatu perkara adalah jelas dan mudah untuk menolak sesuatu perkara yang bertentangan dengan syariat Islam seperti fahaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme. Sekiranya kefahaman mereka jelas sudah pasti jati diri muslim dapat dipertahankan dan agenda Barat untuk melahirkan muslim moderat dapat dipatahkan dari akarnya. Di sinilah peri pentingnya tugas pendakwah, ulama, pendidik, pemimpin dan sesiapa sahaja yang mengaku dirinya muslim dalam menyampaikan dakwah Islamiah kepada masyarakat dan menyedarkan mereka tentang bahaya fahaman-fahaman ini.

-Pelangi Duha-

[baca lanjut tentang Muslim Moderat oleh RAND Corporation di sini]

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda