Malaysia bukan negara sekular. Sekularisme adalah konsep yang memisahkan manusia dengan agama. Sedangkan perlembagaan Malaysia meletakkan agama Islam di tempat paling tinggi sebagai agama persekutuan. Kedaulatan agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu tidak mampu tergugat selagi Institusi Diraja dipertahankan. Institusi Diraja memelihara kekebalan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu.

Umat Islam di Malaysia harus sedar, musuh-musuh Islam sedang cuba untuk menghapuskan ketiga-tiga perkara ini. Tiada apa lagi yang tinggal untuk orang Melayu Muslim di Malaysia apabila semua ini dicabuli.

Kini, bangsa Melayu di Malaysia sudah hilang jati diri Islamnya akibat pengaruh musuh-musuh Islam yang menular masuk ke dalam negara kita tanpa disedari. Malahan orang Melayu sendiri malu untuk mengaku mereka Melayu. Melayu dan Islam ingin dipisahkan semata-mata taksub pada politik kepartian. Lahirlah bangsa Melayu yang hilang ciri kemelayuan dan jauh dari peribadi Islam akibat kecelaruan identiti. Kita bangsa Melayu semakin hilang agenda Islam apabila ia ditenggelami agenda orang lain seperti humanisme. Humanisme adalah agenda yang berpusatkan kepada nilai manusia dalam membuat keputusan. Fahaman ini menolak agama dan Tuhan yang mencipta mereka.

Kefahaman humanisme inilah yang melahirkan unsur-unsur isme yang lain seperti materialisme, sekularisme, sosialisme, kapitalisme, liberalisme, demokrasi, pluralisasi dan globalisasi. Unsur-unsur isme ini menjauhkan kita daripada panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Kini, perjuangan kita bangsa Melayu bukan dengan mengangkat senjata, tetapi inilah adalah pertempuran antara hak dan batil. Serangan pemikiran dan ideologi yang tidak berlandaskan dua sumber rujukan tertinggi agama Islam ini perlu dihapuskan dan tiada ruang langsung untuk bertapak di Malaysia.

Oleh itu, memilih calon muslim yang berwibawa berdasarkan lima ciri utama perlu dalam mempertahankan kedudukan agama Islam di Malaysia. Pilihlah calon yang amanah supaya tidak timbul lagi unsur rasuah . Pilihlah calon muslim berakhlak supaya tiada lagi unsur saling menjatuhkan dan membuka aib sesama lawan politik. Pilihlah calon muslim yang membawa dasar perpaduan supaya dengannya umat Islam akan saling bersatu padu dan bermuafakat dalam mempertahankan kedaulatan Islam. Pilihlah calon muslim yang setia kepada negaranya, agar dirinya nanti tidak mudah tunduk kepada agenda asing yang bercanggah dengan ideologi Islam. Akhir sekali, pilihlah calon muslim yang mengamalkan kesejahteraan, supaya keamanan negara tetap terpelihara, dan masyarakat majmuk berbilang kaum di Malaysia merasa aman dan sejahtera di bawah pimpinan Islam.

Lupakan perbezaan parti. Tetapi lihatlah pada keislamannya. Ini kerana, tiada lagi dosa yang paling besar selain daripada syirik kepada Allah. Hak di tangan kita dalam menentukan pemerintahan negara pada hari-hari mendatang. Jangan cabuli amanah yang diletakkan pada kita semata-mata ketaksuban pada parti, kepimpinan, individu tertentu atau dendam kesumat.

-Plasmodiophora-

TENTANG PENULIS

Entri Seterusnya >
Melayu pilih Islam!

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda