Usaha untuk menyatukan semula antara zikir dan fikir sepertimana yang saya sebutkan sebelumnya, akan membawa kita kepada satu lagi persoalan yakni antara bangsa dan agama-agama yang mana satu patut didahulukan? Pertembungan antara semangat nasionalisme dengan agama punya rentetan sejarah panjang dalam sejarah Islam. Tidak sedikit pihak yang berpendapat bahawa semangat nasionalisme Arab adalah suntikan penjajah untuk melemahkan dunia Islam Arab hingga memecahbelahkan mereka kepada beberapa negara seperti yang kita lihat pada hari ini.

Perjuangan Islam atau Melayu ?

Pernah saya diajukan soalan, apakah kita perlu memperjuangkan Islam dahulu kemudian baru Melayu, atau memperjuangkan Melayu dahulu kemudian baru Islam ? Pernah juga pada satu ketika yang lain seorang mahasiswa dari sebuah Pusat Pengajian Tinggi bertanya (dengan nada yang keras), apakah kita harus menjadi pejuang bangsa atau pejuang agama? Kedua-dua soalan ini jelas menunjukkan semacam ada satu dilema (kalau tidak pun satu konflik) antara memperjuangkan Islam dengan Melayu di kalangan kita. Soalan ini sangat menarik untuk diangkat menjadi persoalan, justeru mungkin ini antara satu faktor yang menyumbang ke arah perpecahan bangsa Melayu Islam masa kini.

Persoalan ini bukan sahaja telah dijadikan bahan polemik di kalangan ahli akademik, bahkan ia juga kerap dijadikan modal politik oleh parti-parti yang bersaing dan bertanding dalam pilihan raya. Misalnya kerap kita dengar hujah yang mengatakan Islam itu agama manakala Melayu itu satu bangsa. Oleh itu perjuangan Islam sifatnya lebih global berbanding perjuangan Melayu yang bersifat sejagat.

“Maka menurut gologan tersebut, memperjuangkan Islam jauh lebih relevan daripada memperjuangkan Melayu”

Siapakah yang lebih Islam, Siapakah yang lebih Melayu ?

Tidak kurang pula ada kumpulan yang beranggapan bahawa perjuangan Melayu adalah perjuangan yang bersifat “asabiyah qaumiyah” dan itu adalah warisan jahiliah. Sebaliknya, bagi mereka yang memperjuangkan bangsa pula beranggapan bahawa apa yang mereka perjuangkan tidak bertentangan dengan Islam kerana Rasulullah saw juga secara tidak langsung memartabatkan kedudukan bangsa Arab sewaktu memperjuangkan Islam dahulu.

Dari sini timbullah kumpulan yang selalu dilabel sebagai pejuang nasionalis dan pejuang Islam. Ada yang menggunakan label agama dan ada yang menggunakan label bangsa. Masing-masing mengaku bahawa perjuangan merekalah yang lebih tepat. Atas dasar itu, berlakulah pertarungan sengit yang tidak habis-habis walaupun hakikatnya kedua-dua kumpulan adalah seagama dan sebangsa.

Siapa yang lebih Islam dan siapakah yang lebih Melayu ? Dari sini timbullah krisis pemikiran dan tindakan yang muncul dalam pelbagai isu yang datang bertimpa-timpa. Antaranya manakah soal yang lebih penting fardhu ain atau fardhu kifayah, kerohanian atau pembangunan, hudud atau pendidikan, “ritual” atau “substance”, tudung di kepala atau iman di dada, ekonomi atau akhlak, hafiz atau teknokrat syariat atau syiar dan macam-macam lagi …

Terlepas daripada pola berfikir berasaskan kepentingan diri dan puak, kita sepatutnya boleh melihat persoalan ini dari dimensi yang lebih harmoni dan realiti. Realitinya dalam konteks negara Malaysia, hubungan Islam dan Melayu sebenarnya sangat sinonim. Definisi Melayu dalam status perundangan menampilkan tiga ciri asas yakni, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat budaya Melayu.

Jadi ini dengan sendiri meletakkan Islam sebagai satu ciri dalam jati diri Melayu. Dengan kata yang lain, jika seseorang “membuang” Islamnya, maka secara automatik dikatakan hilang bukan sahaja nilai-nilai keislamannya tetapi juga sifat-sifat kemelayuannya.

Oleh itu dalam konteks Malaysia khususnya, secara mudah kita boleh mengatakan yang “Melayu Itu Islam” dan “Islam itu Melayu”. Sungguhpun begitu, ungkapan ini tidak relevan di peringkat antarabangsa kerana di dunia ini ada banyak bangsa lain yang beragama Islam seperti Arab, Turki, Kurdi, Mongol dan lain-lain. Begitu juga daripada aspek syariat-bangsa dan agama tidak boleh disinonimkan.

Masih Islam, Masih Melayu

Justeru, meskipun ada di kalangan orang Melayu yang telah meminggirkan nilai dan syariat Islam dalam kehidupan mereka, tetapi itu bukanlah alasan untuk menafikan keislaman mereka kerana selagi mereka masih mengakui beragama Islam, maka keislaman mereka tidak boleh ditolak. Pengakuan lahiriah mereka ini hendaklah diterima dan diiktiraf, manakala apa yang lebih tersirat dan hakikat (yang tersembunyi dalam hati) adalah hak Tuhan untuk menentukannya.

“Rasulullah saw pernah memarahi Saydina Khalid al Walid r.a yang telah membunuh sekelompok orang yang lidahnya masih mengucap kalimah syahadah. Islam hanya menghukum yang zahir manakala yang batin, diserahkan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui”

Jika demikian, hukum yang sama boleh juga dipakai buat kelompok Melayu yang sudah meninggalkan adat istiadat bangsanya dalam kehidupan seharian mereka. Mereka tidak sepatutnya dituduh hilang sifat kemelayuannya hanya dengan memakai ketayap (ala Arab) ataupun topi (ala Barat). Yang penting selagi mereka masih mengakui bahawa mereka berbangsa Melayu maka mereka masih dikira orang Melayu.

Jika kita boleh menerima definisi dan sikap yang lebih toleransi seperti di atas, maka secara praktiknya seharusnya tidak ada konflik antara bangsa dan agama di kalangan orang Melayu di Malaysia. Jika ada pihak yang memperjuangkan Melayu, maka mereka boleh dikatakan memperjuangkan Islam dan begitu jugalah jika ada pihak yang memperjuangkan Islam, maka mereka juga boleh dikatakan memperjuangkan Melayu.

Perjuangan untuk Melayu Islam

Kita sewajarnya sedar bahawa antara isi perjuangan Islam adalah untuk membela kaum yang lemah dan memberi keadilan kepada semua tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan warna kulit. Kebetulan di Malaysia bangsa yang lemah ialah bangsa Melayu. Dan keadilan yang hendak ditegakkan pula meliputi semua bangsa (Cina, India, Sikh) dan semua agama (Kristian, Buddha, Hindu).

Kita juga sedar bahawa memperjuangkan Melayu bererti membela nasib mereka di sudut ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain dengan tidak menafikan hak kaum lain untuk sama-sama menikmati “kek” ekonomi, status sosial dan tahap pendidikan yang baik.

Jika demikian, di mana konfliknya antara sasaran perjuangan agama dan bangsa ? Bukankah kedua-duanya mengarah kepada sasaran yang serupa ?

Oleh yang demikian, tidak kira yang mana dahulu, sama ada memperjuangkan Islam dahulu atau Melayu dahulu, hakikatnya sasaran perjuangan kita adalah sama – orang Islam yang berbangsa Melayu atau orang Melayu yang beragama Islam. Tidak kira perjuangan kelompok mana yang akan berjaya, maka orang Melayu Islam juga yang akan mendapat manfaatnya.

“Tetapi malangnya sehingga kini mengapa hasil perjuangan kedua-dua kelompok agama mahupun kelompok bangsa kita dapati orang Melayu Islam di Malaysia masih ketinggalan ?”

Melayu Haprak ?

Kenyataan ini nampaknya telah diakui oleh kedua-dua belah pihak. Sehingga kini, pemimpin kedua-dua kelompok tidak habis-habis mengeluh yang bangsanya atau umatnya masih haprak di sudut rohani dan material. “Melayu masih tidak berubah sikap,” keluh seorang pemimpin bangsa.

“Umat Islam masih jumud,” kata seorang pemimpin agama. Hasilnya kedua-dua pihak terus bertelagah dan saling salah menyalah antara satu sama lain yang kononnya keberhasilan perjuangan mereka telah diganggu oleh kelompok yang satu lagi.

Sebagai metafora, jika diumpamakan keadaan orang Melayu seperti sebuah kereta rosak, maka tentulah kereta itu akan bergerak juga jika ia ditolak oleh kedua-dua puak kerana walau apa jua yang dinamakan ke atas kereta itu (sama ada “Melayu Islam” atau “Islam Melayu”) bukankah itu ialah kereta yang sama ? Lainlah halnya jika kereta itu ditolak ke arah yang berlawanan. Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana seperti yang ditegaskan sebelumnya, perjuangan memartabatkan bangsa tidak bertentangan sama sekali dengan perjuangan memartabatkan agama.

Memang tak bergerak ke mana …

Bukankah ketinggian ekonomi, kecanggihan teknologi sekali gus kemurniaan rohani yang digembar-gemburkan oleh pejuang bangsa adalah juga yang diuar-uarkan oleh pejuang agama ? Inilah hasanah fid dunya dan hasanah fil akhirah yang dinyatakan dalam doa yang termaktub dalam ajaran agama. Dan inilah juga isi wawasan keramat beserta cabaran-cabarannya seperti telah menjadi agenda bangsa dan negara ?

Jelas, kereta sedang ditolak ke arah yang sama. Soalnya kenapa pergerakannya terlalu lembap ? Malah kadangkala semacam tidak bergerak langsung ? Ya, mungkin wujud perbezaan cara dan gaya perjuangan kedua kelompok, tetapi tidak mungkin wujud perbezaan dari segi gaya dan hala tujuannya.

“Rentetan itu tidak dapat dielakkan lagi jika ada pihak yang mula mempersoalkan, apakah benar kedua-dua pihak sedang memperjuangkan apa yang mereka dakwa agama ataupun bangsa itu ? Atau ada ‘hidden agenda’ lain yang sedang diperjuangkan menggunakan label agama atau label bangsa”

Maksudnya, “kereta” dalam metafora di atas tidak ditolak langsung, tetapi ada “kereta lain” yang sedang ditolak secara sembunyi-sembunyi. Sejarah manusia tidak pernah sunyi dengan kemunculan “mujahid gadungan” atau “patriot badut” yang menggunakan baju bangsa atau jubah agama bagi memperjuangkan kepentingan diri dan puak. Asobiah bangsa dan fanatik agama ialah dua produk utama bila Islam dan Melayu diperalatkan untuk memburu matlamat diri dan kelompok.

Musuh sebenar berperut besar!

Jadi musuh kita yang sebenar bukanlah nasionalis bangsa atau fundamentalis agama, tetapi puak “perutis” – mereka yang berjuang atas kepentingan perut ! Mereka ini tidak mahu melihat Islam dan Melayu bersatu kerana perpaduan dengan sendirinya akan menggugat kepentingan mereka. Mereka akan berusaha habis-habisan untuk mengaut kepentingan diri dengan “kefanatikan” agama atau bangsa mereka dan akan terus menyerang lawan mereka seolah-olah tidak ada lagi jalan damai sampai hari kiamat. Perbezaan kedua-duanya sudah dianggap terlalu jauh- terlalu jauh seperti jauhnya langit dan bumi.

Mereka lupa bahawa langit dan bumi akan sentiasa berhubung dengan turunnya air hujan yang menjadi sungai, awan, laut dan pelangi. Sedangkan kita optimis, “batu api” yang ada di pihak pejuang agama ataupun pejuang bangsa akhirnya akan tersisih. Tunggulah biduk lalu, kiambang akan bertaut !

Simbiotik Dua Elemen = Melayu Islam yang Sukses

Sebenarnya hubungan Islam dengan Melayu adalah hubungan simbiotik yang menguntungkan kedua-duanya. Islam adalah hidayah manakala bangsa adalah fitrah yang kedua-duanya datang daripada Allah. Tuhan menjadikan bangsa untuk proses “litaarrafu” (berkenalan) dan Islam untuk menyelamat dan menyatukan. Malah takrif Melayu yang begitu “terbuka”, sifatnya menyebabkan bangsa Melayu bersifat alami dan sangat sinonim dengan Islam yang juga bersifat demikian.

Sejarah Melayu sendiri telah membutkikan betapa pernah wujud keserasian yang begitu unik antara Melayu dengan Islam pada zaman keagungan Empayar Melayu Melaka. Faktor Islam telah memberi satu upaya yang begitu tinggi dalam proses pembinaan tamadun rohani dan material Kesultanan Melayu Melaka yang begitu dikagumi oleh Eropah, India dan China pada masa itu.

Reengineering Bangsa dan Agama

Islam telah memberi nafas baru bukan sahaja kepada kedudukan ekonomi dan politik bangsa Melayu, malah bahasa Melayu telah diresapi istilah-istilah Islam yang telah membuat satu anjakan paradigma dan “reengineering” sebagai bahasa pengantar dalam bidang falsafah, teknologi, kesusasteraan dan lain-lain. Ketika itu kedudukan Islam mula diperkukuhkan dan disebarkan ke seluruh alam Melayu apabila sultan dan rakyat memeluk Islam pada masa yang sama bangsa Melayu mula mendapat kekuatan mereka hasil pegangan mereka terhadap ajaran Islam.

Bangsa Melayu hampir-hampir mendapat gilirannya sebagai bangsa pembina empayar dengan Islam selepas bangsa Arab, Turki dan Mongol, jika tidak diserang oleh gerakan salibiyah Portugis, Belanda dan Inggeris akibat kemorosotan pengangan mereka terhadap Islam.

Islam = Content, Melayu = Container

Sepatutnya tidak wujud konflik langsung antara keinginan untuk menjadi Muslim yang sejati dengan Melayu yang tulen. Islam adalah “content” dan Melayu boleh disifatkan sebagai “container”. Islam harus menjadi teras dan sendi yang menjadi tunjang dan pengimbang dalam usaha membangunkan bangsa. Islam atas sifatnya yang sejagat mengambil kira faktor setempat aspek budaya, adat kebiasaan dan lain-lain elemen kelaziman untuk menegakkan syariat dan nilainya dalam diri sesuatu bangsa.

Para ulama, umara, budayawan dan teknokrat Islam sejak awal-awal lagi telah memanfaat hubungan yang simbiosis ini dalam membangunkan budaya, berpakaian, makan minum, seni bina, keintelektualan, hasil kesusteraan dan lain-lain. Hingga dengan itu titik perbezaan antara agama dan bangsa dapat dikurangkan ke tahap paling minimum. Mubaligh-mubaligh Islam yang datang ke alam Melayu mengambil pendekatan berinteraksi, berdiplomasi dan bersinergi dengan nilai-nilai bangsa selagi tidak bertentangan dengan syariat.

Ketegasan di aspek akidah misalnya tidak menyekat langsung kefleksibelan Islam dalam aspek-aspek yang boleh ditolakansurkan. Dalam berpakaian, wanita Islam Melayu telah menegakkan hukum menutup auratnya dengan tudung dan baju kurungnya. Begitu juga seorang lelaki muslim begitu segak dengan identiti Melayunya – bersongkok dan dan berbaju Melayu sekali gus menampilkan imej kesopanannya menurut ajaran Islam. Sebenarnya banyak lagi contoh yang boleh dipaparkan bagi membuktikan bahawa Islam dan Melayu boleh ditegakkan secara bersepadu.

Pahrol Md Juoi, Dilema Melayu Islam, Kurang Fikir atau Kurang Zikir?

TENTANG PENULIS

Komen Anda:

Tinggalkan komen anda